mk-logo
Berita
Saham RM800,000 telah diisytihar - Azam Baki
Diterbitkan:  Feb 10, 2026 5:20 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki menjelaskan bahawa pegangan sahamnya dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan sebelum ini dilakukan secara telus dan mengikut peraturan.

Azam memberitahu New Straits Times bahawa dia tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan mengenai saham bernilai RM800,000 itu, sambil menyatakan bahawa transaksi berkenaan diisytihar dengan betul.

"Saya buat pengisytiharan mengenai perkara ini, termasuk sumber pendapatan saya melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam. 

“Semuanya telus," dia dipetik sebagai berkata.


Baca: Azam didakwa miliki saham lebih had: PM didesak bertindak


Media kewangan global Bloomberg hari ini mendedahkan dakwaan Azam memiliki 17.7 juta saham (1.7 peratus) dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partners Berhad.

Malaysiakini mengesahkan laporan tersebut melalui rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Nilai saham tersebut hampir RM800,000 pada pembukaan dagangan hari ini, jauh melebihi had yang dikenakan kepada penjawat awam yang tidak dibenarkan membeli lebih RM100,000 saham dalam satu-satu syarikat.

Tidak jelas bila Azam memperoleh saham tersebut. 

Namun, semakan terhadap sejarah harga saham Velocity Capital Partners di Bursa Malaysia menunjukkan nilainya relatif tidak berubah sejak Ogos 2022 pada sekitar RM0.045 sesaham dan pernah memuncak hampir RM1.50 sesaham pada April 2019.

Azam enggan mengulas ketika dihubungi Malaysiakini.

Sementara itu, Azam menjelaskan bahawa saham tersebut dibeli tahun lalu dan dilupuskan dalam tahun yang sama.

Dia menyifatkan laporan yang mempersoalkan transaksi itu sebagai berniat jahat dan menyimpang.

Dia juga berkata sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang kerana didakwa berunsur fitnah.

Pada 2021, Azam turut menjadi perhatian berhubung pemilikan 1,930,000 saham Gets Global Berhad (dahulunya KBES Berhad) pada 30 April 2015, bernilai kira-kira RM772,000 ketika itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad berkurangan kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000. Dia juga memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pada Januari 2022, Azam berkata dia telah memaklumkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM bahawa saham tersebut dibeli oleh adiknya yang meminjam namanya dan dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

Penjelasan itu mencetuskan siasatan Suruhanjaya Sekuriti yang akhirnya mendapati tiada bukti perdagangan proksi kerana Azam mempunyai “kawalan” ke atas akaun dagangannya sendiri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS