Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mempersoalkan apakah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, melalui pegangan sahamnya, memperoleh manfaat daripada urus niaga perniagaan melibatkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Perkara itu berkaitan pegangan saham Azam dalam Velocity Capital Partners Berhad, sebuah syarikat yang digunakan Farhash untuk memperoleh pegangan utama dalam MMAG Holdings Berhad tahun lalu.

Ketika dihubungi, Farhash yang merupakan bekas setiausaha politik perdana menteri, Anwar Ibrahim menafikan pernah membincangkan urusan perniagaan dengan Azam.

“Bagaimana saya hendak tahu saham apa yang dia (Azam) atau sesiapa pun miliki? Tiada kena-mengena dengan saya! Saya hanya tahu mengenai (pegangan saham Azam) selepas anda memaklumkan kepada saya,” kata ahli perniagaan itu kepada Malaysiakini.

Terdahulu, laporan Bloomberg hari ini mendedahkan bahawa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partners Berhad — iaitu kira-kira 1.7 peratus pegangan.

Malaysiakini telah mengesahkan pemilikan tersebut melalui semakan rekod dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Nilai saham tersebut hampir RM800,000 pada pembukaan dagangan hari ini, jauh melebihi had yang ditetapkan ke atas penjawat awam yang tidak dibenarkan membeli lebih RM100,000 saham dalam satu-satu syarikat.

NST melaporkan Azam sebagai berkata, saham tersebut telah diisytiharkan dengan betul melalui sistem Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Perkhidmatan Awam.

Dia juga berkata saham itu dibeli tahun lalu dan telah dilepaskan dalam tahun yang sama.

Namun begitu, namanya masih tersenarai sebagai pemegang saham dalam rekod SSM yang diakses hari ini.

Pegangan Farhash

Pada 3 Mac tahun lalu, Velocity Capital Partners memperoleh pegangan 6.49 peratus dalam MMAG — sebuah penyedia pengurusan rantaian bekalan bersepadu.

Pada 26 Mac, Farhash memperoleh pegangan 20 peratus dalam MMAG, yang dipegang melalui akaun sekuriti Velocity Capital Partners. Farhash turut dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas MMAG.

The Edge, memetik data luar pasaran Bloomberg, melaporkan bahawa Farhash membeli saham tersebut pada harga 40 sen sesaham dengan jumlah keseluruhan RM184.8 juta. Harga ini kira-kira 26 sen lebih rendah sesaham berbanding harga saham MMAG ketika itu.

Turut membeli saham MMAG pada bulan itu ialah NexG Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Berhad. NexG kemudiannya memenangi tender kerajaan bagi pembekalan pasport dan kad pengenalan.

Pada Nov, harga saham MMAG jatuh serendah 6 sen sesaham.

Tidak lama selepas itu, pada 31 Dis ketika harga saham berada pada paras 7 sen sesaham, Farhash menjual kesemua pegangannya dalam MMAG pada harga 18.9 sen sesaham, atau RM87.32 juta secara keseluruhan.

Ahli perniagaan itu dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM97.48 juta dalam urus niaga tersebut.

Kesemua sahamnya dijual kepada sebuah syarikat milik penuh Cheah Min Lly yang berusia 25 tahun. Saham-saham tersebut kekal dicagarkan kepada Velocity Capital Partners.

Dia kemudian meletakkan jawatan sebagai pengerusi atas alasan peribadi.

Velocity Capital Partners kemudiannya menjual pegangan langsungnya dalam MMAG, namun masih terdedah kepada syarikat itu melalui saham yang dicagarkan oleh Cheah.

Rafizi dalam kenyataannya hari ini, berkata pendedahan Bloomberg menunjukkan bahawa pegangan saham Azam dalam Velocity Capital Partners meletakkan dirinya dalam jaringan urus niaga melibatkan Farhash dan NexG.

"Apakah kepentingan beliau di dalam urusniaga yang melibatkan syarikat-syarikat yang telah mengundang spekulasi sebelum ini (MMAG Holdings Berhad dan NexG Berhad) kerana NexG Berhad berjaya mendapat tender sebesar itu dari kerajaan?” soal Rafizi.

Tiada bukti setakat ini yang mengaitkan kemenangan tender NexG dengan pelaburannya dalam MMAG.

Sementara itu, Rafizi turut mempersoalkan bagaimana seorang penjawat awam berpangkat kanan mempunyai begitu banyak wang untuk menjadi pemegang saham yang signifikan di dalam sebuah syarikat senaraian awam.

Rafizi juga mempersoalkan bagaimana Azam boleh kekal menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM sedangkan dia telah melanggar peraturan penjawat awam bersabit pemilikan saham.

Bekas menteri ekonomi itu menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggantung tugas Azam serta-merta supaya satu siasatan menyeluruh boleh dijalankan.

Katanya, ini termasuk memastikan sama ada Azam terbabit - secara langsung atau tidak langsung - di dalam apa-apa urusniaga melibatkan MMAG Berhad dan NexG Berhad

Malaysiakini telah menghubungi Azam, MMAG, Velocity Capital dan NexG untuk mendapatkan maklum balas berhubung kenyataan Rafizi itu.

Kontroversi babitkan Azam

Ini bukan kali pertama pemilikan saham Azam menjadi perhatian.

Pada penghujung 2021, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu disiasat berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad, sebelum ini dikenali sebagai KBES Berhad, pada 30 April 2015, yang bernilai sekitar RM772,000 ketika itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global menurun kepada 1,029,500 saham setakat 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 ketika itu. Dia juga memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Peraturan had pembelian saham RM100,000 bagi penjawat awam telah pun berkuat kuasa ketika itu.

Pada Jan 2022, Azam berkata dia telah memaklumkan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM bahawa saham-saham tersebut dibeli oleh abangnya yang menggunakan namanya, dan dia percaya bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

Pengisytiharan itu mencetuskan siasatan Suruhanjaya Sekuriti yang akhirnya mendapati tiada bukti wujudnya dagangan proksi kerana Azam mempunyai “kawalan” ke atas akaun dagangannya sendiri.

Pada 20 Jan 2022, Anwar, yang ketika itu merupakan ketua pembangkang, berjanji membangkitkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob.

Ini susulan penyerahan memorandum oleh Pemuda PKR yang antara lain menuntut agar ketua pesuruhjaya SPRM mengisytiharkan aset.

Namun, sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Nov 2022, Anwar menjadi penyokong kuat Azam, malah pernah menyatakan bahawa Azam merupakan satu-satunya individu yang berani bertindak terhadap pemimpin yang melakukan rasuah.

Kerajaan melanjutkan kontrak Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM melepasi umur persaraan sebanyak tiga kali.

Kontrak semasa Azam dijadualkan tamat pada 12 Mei dan dia sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk bersara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS