Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran mempertahan pemilikan saham bernilai RM800,000 yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang didedahkan Bloomberg.

Berucap pada sesi penggulungan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, Kulasegaran mendakwa Azam memang telah memaklumkan perkara itu kepada kerajaan terlebih dulu.

"Tohmahan yang tertera di Bloomberg hanya pandangan mereka. Saya dah baca, sebab itu Ketua Pesuruhjaya SPRM keluar kenyataan, dia tak nafikan dia hanya beritahu.

"Mengenai had beliau melabur, sebenarnya tidak ada sedemikian. Kalau boleh yang berhormat tunjuk jika ada undang-undang sedemikian (mengehadkan jumlah pemilihan saham).

"Tidak ada (pekeliling) konkrit (mengenai) keperluan untuk pegawai kerajaan menghadkan untuk melabur (membeli saham)," katanya pada sesi penggulungan.

Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan dibangkitkan Hassan Abdul Karim (PH - Pasir Gudang) yang mempertikai saham Azam yang didakwa melebihi had dibenarkan terhadap penjawat awam.

"Didapati laporan media, nilai saham ditaksirkan hampir RM800,00. Jumlah ini melebihi had dibenarkan penjawat awam RM100,000.

"Adakah menteri boleh bawa (cadangan) kepada kabinet untuk merehatkan (Azam)… kalau (Ahli Parlimen) Pagoh, dan Bera boleh disiasat oleh SPRM, sudah sampai masa - kalau dia profesional - untuk dibenarkan siasatan," kata Hassan ketika mencelah.

Perlu diteliti dengan mendalam

Untuk rekod, Pekeliling Tatakelaluan dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam 2024 yang dicapai melalui laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam dengan jelas menyatakan penjawat awam tidak dibenarkan membeli saham melebihi 5 peratus daripada modal dibayar atau RM100,000 pada nilai semasa.

Terdahulu, media kewangan global, Bloomberg, hari ini mendedahkan Azam dikatakan memiliki 17.7 juta saham (1.7 peratus) dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partners Bhd.

Malaysiakini mengesahkan laporan tersebut melalui semakan rekod di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Nilai saham tersebut hampir RM800,000 pada pembukaan dagangan hari ini, jauh melebihi had yang dikenakan kepada penjawat awam yang tidak dibenarkan membeli lebih RM100,000 saham dalam satu-satu syarikat.

Bagaimanapun Azam menjelaskan bahawa pegangan sahamnya sebelum ini dilakukan secara telus dan mengikut peraturan.

Azam Baki

Azam memberitahu New Straits Times, dia tidak menyembunyikan apa-apa berhubung saham bernilai RM800,000 itu serta menyatakan transaksi berkenaan diisytihar dengan betul.

"Saya buat pengisytiharan mengenai perkara ini, termasuk sumber pendapatan saya melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Semuanya telus," katanya.

Kulasegaran pada akhir sesi hari ini kemudian membuat pembetulan kenyataannya berhubung had pembelian saham oleh penjawat awam seperti ditetapkan pekeliling.

"Saya telah diberikan taklimat lanjut sebentar tadi dan dimaklumkan bahawa pekeliling Tatakelaluan dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam 2024 terpakai dalam hal ini.

"Penjelasan bertulis boleh dipohon oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) sekiranya saham tersebut melebihi (had yang dibenarkan).

"Ini adalah jawapan saya kepada yang berhormat Pasir Gudang dan Bukit Gelugor (yang turut membangkitkan isu berkenaan)," kata Kulasegaran.

Oleh itu, katanya, apa yang dilaporkan oleh Bloomberg perlu diteliti secara mendalam.

"Tetapi ini terpulang kepada KSN adakah untuk memberi kebenaran dan sebagainya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS