PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan mengulangi pendirian kerajaan membantah normalisasi "budaya songsang" yang merujuk kepada LGBTQ+.
Dalam ucapan penggulungan titah diraja kementeriannya, Zulkifli Hasan turut menjawab kritikan terhadap kenyataannya sebelum ini bahawa tekanan tempat kerja boleh menyebabkan seseorang dikategorikan sebagai LGBTQ+, sambil menambah bahawa pemahaman agama yang rendah sebagai faktor penyumbang lain.
"Saya ingin tegaskan di sini, kita menolak dan tidak berkompromi sebarang usaha menormalisasi budaya songsang. Titik dan noktah," kata Zulkifli Hasan yang menggesa pengkritik supaya "tidak hanya membaca tajuk" artikel yang memetik kenyataannya.
Dia kemudiannya memetik ayat daripada al-Quran yang menekankan kepentingan mengesahkan sebarang maklumat yang diterima, sambil menambah bahawa langkah itu perlu bagi mengelakkan "penyebaran fitnah" terhadap mana-mana individu.
Dalam satu celahan, Sany Hamzan (Pakatan Harapan-Hulu Langat) menamakan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) sebagai penyebar fitnah terhadap kerajaan dengan tuduhan tiada tindakan diambil terhadap acara “Glamping With Pride”, yang akhirnya dibatalkan susulan bantahan orang ramai.
“Dia (Zulkifli Ismail) sebut kerajaan yang ada hari ini tidak ambil sebarang tindakan aktiviti ‘glamping’ (with pride) tu. LGBT tu! Ini satu fitnah yang dilemparkan pada kerajaan hari ini.
"Sepatutnya menteri agama ambil tindakan sewajarnya di atas kenyataan ahli parlimen Jasin," kata Sany.
Zulkifli Hasan, sebagai tindak balas, mengulangi peringatannya untuk melihat perkara itu secara menyeluruh, tetapi Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik), dalam satu lagi celahan, meminta Sany bertenang.
“Saya nak pesan pada Hulu Langat, cakap elok-elok jangan terjerit-jerit, bertenang,” kata Ahli Parlimen PAS itu.
Walau bagaimanapun, Sany menegaskan bahawa dia berhak untuk menjerit selagi tidak ditegur oleh Speaker.
"Dalam dewan ni nak menjerit boleh, nak memekak boleh, tapi jangan buat fitnah. Saya setakat hari ni duduk sini tak pernah buat fitnah, tapi belah sana..." katanya, sebelum Timbalan Speaker Alice Lau, yang mempengerusikan sesi itu, menggesa Sany untuk duduk meski suaranya masih dapat didengari selepas mikrofonnya dimatikan.
