Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Laporan terbaru cetus semula desakan Azam Baki berundur, reformasi SPRM
Diterbitkan:  Feb 11, 2026 8:29 AM
Dikemaskini: 12:29 AM

Beberapa NGO dan ahli politik menggesa reformasi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk desakan supaya Azam Baki meletakkan jawatan, susulan laporan Bloomberg mengenai pemilikan saham oleh ketua pesuruhjaya badan antirasuah itu.

Pengerusi Bersih, Faisal Aziz dan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata ini bukan kali pertama Azam menjadi tumpuan berhubung pemilikan saham yang melebihi had yang dibenarkan.

“Justeru, berdasarkan perkembangan semasa ini Bersih mendesak Azam Baki untuk letak jawatan serta merta,” kata Faisal dalam kenyataan.

Faisal juga mengingatkan bahawa Azam pernah disiasat pada tahun 2021 berhubung pemilikan saham dalam Gets Global Berhad bernilai kira-kira RM772,000 dan enggan menghadiri prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkaitan perkara itu.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari pula berkata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim wajib memberi penjelasan mengenai laporan berkenaan.

Menurutnya perkara itu bukan isu peribadi semata-mata, malah menyentuh integriti institusi penguatkuasaan tertinggi negara dalam memerangi rasuah.

"Sekiranya kerajaan terus berdiam diri tanpa sebarang penjelasan yang telus dan meyakinkan, maka Tan Sri Azam Baki wajar mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan, atau perkhidmatannya ditamatkan serta-merta demi menjaga nama baik SPRM dan integriti institusi negara,” kata Fadhli dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, turut menggesa Anwar memberi penjelasan segera berhubung isu berkenaan.

“Jangan tangguh tangguh. Semoga ia dibangkitkan dalam parlimen. Ia isu kepentingan awam. Jangan sapu bawah karpet,” katanya.

Desakan kepada pemantauan bebas

Faisal berkata dia mengalu-alukan cadangan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar baru-baru ini yang menegaskan keperluan untuk kerajaan melaksanakan reformasi terhadap SPRM secara total.

Kata Faisal, Bersih pada Julai 2024 telah melancarkan Laporan Reformasi SPRM yang menekankan kepentingan untuk menjadikan SPRM badan bebas dari eksekutif dalam masa sama mewujudkan akauntabiliti.

“Antara yang dicadangkan termasuk kuasa melantik dan membuang Ketua Pesuruhjaya serta pegawai SPRM yang lain perlu dipindahkan daripada Eksekutif kepada satu suruhanjaya baharu - Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR).

“Dalam pada itu, Bersih menegaskan keperluan satu Jawatankuasa Bersama Parlimen berkenaan Hal Ehwal Rasuah (JBPR) bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang bertanggungjawab menyemak laporan daripada SPPR dan SPRM.

“Ia bertanggungjawab menyemak dan mengesahkan cadangan lantikan jawatan kanan badan pencegahan rasuah kepada YDPA,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugan, turut menyokong cadangan tersebut, dengan menyatakan badan pemantauan sedia ada kekurangan kredibiliti.

“Perkembangan terkini sekali lagi mendedahkan masalah asas: apabila agensi penguatkuasaan memiliki kuasa budi bicara yang luas tanpa pemantauan bebas yang berwibawa, keyakinan awam pasti terhakis,” katanya.

Menurutnya, masalah akauntabiliti SPRM adalah masalah berkaitan sistem dan bukan bersifat sementara serta tidak boleh diselesaikan hanya dengan menangani kes individu.

Katanya, reformasi sebenar memerlukan tindakan tegas dengan melaksanakan peraturan yang jelas dan mengikat bagi melindungi integriti SPRM.

"Tanpa perlindungan ini, akauntabiliti akan terus bersifat terpilih, lemah dan mudah dipengaruhi politik,” katanya.

Laporan Bloomberg yang diterbitkan semalam mendedahkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partner Berhad — bersamaan kira-kira 1.7 peratus pegangan.

Malaysiakini mengesahkan pemilikan tersebut berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), yang berpandukan dokumen syarikat yang didaftarkan pada 26 Dis tahun lalu.

Bagaimanapun, SPRM dan Azam berkata pemilikan saham tersebut telah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Azam berkata saham berkenaan telah dibeli dan dijual pada tahun lalu, dan dia sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap laporan yang disifatkannya sebagai berniat jahat kerana mempersoalkan urus niaga tersebut.

Berdasarkan harga saham tahun lalu (antara RM0.015 hingga RM0.065), pegangan itu dianggarkan bernilai antara RM265,500 hingga RM1,150,500.

Penjawat awam tidak dibenarkan membeli saham bernilai lebih RM100,000 dalam mana-mana satu syarikat — menjadikan pegangan Azam jauh melebihi had yang ditetapkan.

Pada penghujung tahun 2021, Azam turut disiasat berhubung pemilikan 1.93 juta saham dalam Gets Global Berhad bernilai kira-kira RM772,000 — yang juga melebihi had.

Pada Jan 2022, Anwar, yang ketika itu merupakan Ketua Pembangkang, berjanji untuk membangkitkan isu tersebut dengan Perdana Menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob, selepas Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyerahkan memorandum yang menggesa ketua pesuruhjaya SPRM mengisytiharkan aset mereka.

Namun sejak menjadi Perdana Menteri pada November 2022, Anwar melanjutkan kontrak Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM meskipun telah melepasi umur persaraan sebanyak tiga kali — dengan kontraknya pada masa ini dijadual tamat pada 12 Mei tahun ini.

Anwar juga menjadi pembela kuat Azam dan pernah menyatakan bahawa Azam adalah satu-satunya individu yang berani mengambil tindakan terhadap pemimpin yang melakukan rasuah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS