mk-logo
Berita
Tei tuntut jawapan kes 13 Adun Sabah lepas PM mahu ‘selamatkan negara’
Diterbitkan:  Feb 11, 2026 11:56 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Ahli perniagaan Albert Tei mempersoalkan status baki 13 ahli politik yang dikaitkan dengan skandal perlombongan Sabah sebagai respons kepada kenyataan terbaru Anwar Ibrahim bahawa kerajaan tetap teguh dalam menyelamatkan negara daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Tei mendakwa kenyataan perdana menteri itu berbau amalan dwistandard, serta membayangkan bahawa sekutu politik boleh terlepas daripada tindakan.

“Sejak pendedahan saya pada bulan November tahun 2014, lima belas bulan telah berlalu tetapi SPRM hanya mendakwa dua daripada 15 orang VVIP (kenamaan) yang terpalit dalam kegiatan rasuah secara terancang dan kolektif ke mahkamah.

“⁠Selebihnya 13 orang VVIP bukan sahaja terlepas daripada tindakan undang-undang, sebaliknya kebanyakan daripada mereka telah dilantik ke jawatan tertinggi di dalam kabinet Sabah serta pelbagai jawatan penting bawah kerajaan negeri Sabah,” tambahnya dalam kenyataan.

Tei mengingatkan bahawa dia membekalkan SPRM dengan beratus-ratus halaman bukti selain rakaman video, dan ini termasuk “pelbagai dokumen seperti jejak wang, surat-menyurat, rekod WhatsApp yang menyokong transaksi tersebut, serta telefon bimbit”.

“⁠Namun apa yang berlaku sehingga hari ini, selepas 15 bulan telah berlalu?” soalnya.

Tei juga mengulangi dakwaannya bahawa Anwar melindungi ahli politik tersebut dan menggunakan buktinya sebagai “senjata politik” untuk mengawal pemimpin GRS.

“Justeru itu, tuduhan saya memang benar bahawa Anwar Ibrahim mempunyai amalan dua darjat dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa yang dilaung-laungkan olehnya,” katanya.

November lalu, Anwar menafikan dakwaan bahawa dia melindungi ahli politik Gabungan Rakyat Sabah (Grs) — sekutu PH — dengan menyatakan kes itu kekal terbuka dan kertas siasatan berada di tangan Jabatan Peguam Negara. 

Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat terkini sejak itu.

Tei, yang mendakwa memberi rasuah kepada ahli politik sebagai balasan untuk lesen penjelajahan mineral, didakwa sebanyak dua kali berkaitan skandal tersebut.

Sebelum ini, dia juga mendakwa seorang pegawai tinggi SPRM mengugutnya supaya tidak membuat laporan mengenai skandal berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS