Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu kuil: Anda tiada hak ambil tindakan sendiri, kata PM
Diterbitkan:  Feb 12, 2026 11:11 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri berhubung kewujudan kuil-kuil yang tidak sah.

Peringatan itu dibuat hanya dua hari selepas Anwar memaklumkan dia telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk “membersihkan” kuil yang didirikan tanpa kebenaran.

“Negara ini berdasarkan peraturan dan undang-undang, bukan kehendak individu.

“Walau sekuat mana perasaan anda, sama ada suka atau tidak suka, hormat atau tidak hormat kepercayaan orang lain, peraturan asas mesti dipatuhi.

“Oleh itu, saya ingin ingatkan rakan-rakan yang anda telah diberitahu supaya mematuhi peraturan ini dan anda mesti berpegang pada prinsip ini, dan anda sama sekali tiada hak untuk meletakkan undang-undang di tangan sendiri,” katanya semasa makan malam Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) malam tadi.

Dia menegaskan bahawa hanya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap kuil-kuil tanpa kebenaran.

Ini bukan kali pertama Anwar memberi amaran terhadap tindakan vigilantisme, namun amaran terbarunya mungkin hadir sedikit lambat.

Terdahulu semalam, sebuah kuil tidak sah di Rawang, Selangor telah dirobohkan oleh sekumpulan individu — mengakibatkan empat tangkapan.

Peguam kepada pihak yang didakwa melakukannya berkata mereka bertindak selari dengan arahan Anwar untuk “membersihkan” kuil yang tidak sah.

Salah seorang yang ditahan ialah aktivis Tamim Dahri. Tamim juga ditahan Sabtu lalu, sebelum protes membantah terhadap kuil sedemikian.

Ketika itu, Anwar juga memberi peringatan kepada penganjur yang dia akan mengambil tindakan tegas terhadap demonstrasi tersebut, atas alasan keselamatan negara kerana ia dibuat ketika lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Dalam ucapannya malam tadi, Perdana Menteri turut bertegas dengan pendiriannya terhadap kuil tidak sah — menggambarkannya sebagai elemen pinggiran.

“Insiden terbaru, dalam isu kuil Hindu, saya telah jelaskan: negara ini, jika anda menghormati undang-undang, kita tidak boleh membenarkan pembinaan kuil sesuka hati tanpa prosedur yang betul.

“Ya, kuil Cina patuh (prosedur), gereja Kristian patuh, masjid dan surau patuh, dan kebanyakan kuil Hindu yang lain juga patuh.

“Jadi berterus teranglah, kerana jika kita tidak menghormatinya, anda akan menimbulkan isu dan masalah,” katanya.

Sejumlah pihak sebelum ini berpandangan istilah “membersihkan” yang digunakan Anwar berisiko menimbulkan masalah.

Risiko salah tafsir

Dalam satu kenyataan semalam, Majlis Perundingan Buddhism, Kristian, Hindu, Sikhisme dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) mengingatkan kenyataan itu terlalu umum dan boleh ditafsirkan sebagai terpakai kepada semua rumah ibadat tanpa pengecualian.

Kumpulan itu menggesa Anwar untuk menjelaskan jika arahan tersebut terpakai kepada rumah ibadat yang wujud sebelum Merdeka, dengan hujah bahawa mengkategorikan rumah ibadat berusia puluhan tahun sebagai “haram” di bawah undang-undang semasa adalah tindakan sewenang-wenangnya dan tidak adil.

Pasukan Petugas Kuil Hindu juga menyalahkan kenyataan Anwar atas kejadian perobohan kuil di Rawang malam tadi.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata walaupun timbul isu dan kontroversi, menjadi kepentingan semua pihak untuk melindungi kestabilan dan perpaduan negara.

“Walaupun terdapat perbezaan, kita telah berkongsi nilai ini selama ratusan tahun.

“Tiada sebab untuk kita biarkan kumpulan kecil, kelompok berunsur tidak bertanggungjawab ini mengganggunya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS