Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aktivis ditahan robohkan kuil: Peguam kata sahut seruan PM

Tamim Dahri, aktivis kempen membantah kuil yang tidak sah ditahan polis selepas merobohkan kuil di Taman Rawang Perdana awal pagi tadi.

Peguamnya, Aidil Khalid berkata tindakan perobohan itu dibuat sebagai menyahut seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk “membersihkan” struktur rumah ibadat tidak sah.

Jelas Aidil, kawasan tersebut merupakan tanah milik Yayasan Kubra yang telah diceroboh sejak 2018, dan perobohan dibuat bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah asnaf.

"Tanah Yayasan Kubra di Rawang Perdana diceroboh kuil haram sejak tahun 2018. Jadi, sebagai menyahut seruan PMX (Anwar) tentang pembersihan rumah-rumah anutan haram, Ustaz Ismail selaku pemegang amanah yayasan telah mendapatkan bantuan Tamim untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan ke atas struktur haram di atas tanah yayasan.

"Ini bagi memberi laluan kepada pembinaan projek rumah asnaf di atas tanah itu, seperti yang telah dirancang sejak sekian lama. Pembersihan tersebut telah berjaya dilaksanakan awal pagi tadi," katanya kepada Malaysiakini.

Namun, kata Aidil yang juga peguam Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah), selepas kerja perobohan selesai, Tamim telah dikepung oleh sekumpulan orang yang bukan pemilik sah tanah.

"Selepas menghubungi 999, dua anggota polis telah datang ke tempat kejadian, dan mengiringi Tamim ke IPD Gombak.

"Dia ditahan polis dan esok akan dibawa untuk proses reman," kata Aidil.

Malaysiakini telah menghubungi IPD Gombak untuk komen.

Untuk rekod, Tamim bersama Zamri Vinoth baru-baru ini ditahan polis dan direman selama dua hari berhubung Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang diadakan di depan Kompleks Pusat Beli Belah Sogo, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.

HTTF Minta PM berhati-hati buat kenyataan

Sementara itu, tindakan perobohan itu mendapat kecaman keras daripada Pasukan Petugas Kuil Hindu (HTTF) yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tindakan melampau yang menggugat ketenteraman awam.

HTTF mendakwa mereka telah membuat ratusan laporan polis terhadap Tamim sejak dua minggu lalu selepas aktivis itu dikesan mengumpul dana awam bagi membeli jentera backhoe khusus untuk merobohkan rumah ibadat yang didakwa haram.

"Sesiapa pun tidak boleh mengambil tindakan vigilante seperti ini. Malah, pihak penguat kuasa juga sememangnya hanya akan mengambil tindakan menurut undang-undang.

"Kami kesal pihak polis gagal mengambil tindakan pencegahan awal walaupun laporan telah dibuat," kata wakil HTTF.

HTTF turut mengaitkan tindakan itu dengan kenyataan Anwar baru-baru ini yang mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) "membersihkan" struktur rumah ibadat tidak sah.

Mereka meminta perdana menteri supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang menurutnya boleh memberi inspirasi kepada golongan pelampau untuk mensasarkan rumah ibadat agama lain.

Mengulas insiden berkenaan, exco kerajaan negeri Selangor, Pappa Raidu Veraman berkata bahawa dia memandang serius insiden tersebut.

Katanya, sebarang isu pencerobohan atau perobohan mestilah melalui saluran rasmi seperti Pejabat Tanah dan Daerah atau PBT, bukannya melalui tindakan individu.

"Saya menggesa PDRM mengambil tindakan segera, profesional dan telus terhadap semua pihak yang terlibat.

"Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, peralatan dan jentera yang digunakan termasuk backhoe wajar dirampas bagi memastikan siasatan berjalan lancar serta mengelakkan gangguan terhadap bahan bukti," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia turut menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak membiarkan isu ini dieksploitasi sehingga mencetuskan ketegangan kaum atau agama.

Untuk rekod, insiden di Rawang Perdana ini berlaku hanya beberapa hari selepas Anwar memberikan arahan menyeluruh kepada PBT untuk menguruskan isu rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran atau di atas tanah yang bukan milik mereka.

Arahan tersebut ditujukan kepada agensi penguatkuasaan rasmi bagi menyusun semula perancangan bandar.

Bagaimanapun, sebuah kumpulan antara agama telah menyatakan kebimbangan terhadap arahan perdana menteri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) memberi amaran bahawa kenyataan perdana menteri itu terlalu umum dan boleh ditafsirkan sebagai terpakai kepada semua tempat ibadat tanpa pandang bulu.

Kumpulan itu menggesa perdana menteri untuk menjelaskan sama ada arahan itu terpakai kepada tempat ibadat yang wujud sebelum Merdeka, dengan alasan bahawa mengkategorikan tempat ibadat berusia beberapa dekad sebagai "haram" di bawah undang-undang semasa adalah tidak adil.

"Telah diperkatakan berkali-kali dan diulangi lagi di sini bahawa semasa era penjajahan, British membenarkan kuil dan tempat ibadat lain dibina di estet getah dan kawasan perlombongan bijih timah.

"Ini berlaku sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan pada masa ini tiada majlis tempatan dan tiada Kanun Tanah Negara yang hanya diluluskan pada tahun 1965," kata kumpulan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS