Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jamal perlekeh mahkamah dengan lelongan tuala, selipar - Teresa Kok
Diterbitkan:  Feb 12, 2026 12:45 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini menghantar amaran keras kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos dan menasihatkannya agar menghentikan segera tindakan memperlekehkan institusi kehakiman melalui "drama" politik yang dianggap biadab dan tidak bermoral.

Pemimpin DAP itu menyifatkan tindakan Jamal yang cuba mensensasikan proses pembayaran kos mahkamah—termasuk melalui lelongan tuala dan selipar baru-baru ini—sebagai satu cubaan provokasi melampau yang menghina integriti sistem perundangan.

“Apa yang amat dikesali ialah cara yang kasar dan tidak bermoral yang terus digunakan oleh Datuk Jamal, termasuk cubaan beliau untuk memperlekeh dan mempermainkan jumlah yang telah diperintahkan oleh mahkamah.

Menjadikan pematuhan terhadap keputusan mahkamah sebagai sindiran bukan sahaja menghina, malah mencerminkan sikap tidak menghormati asas kesopanan dan proses kehakiman,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan Kok ini menyusul selepas Jamal dilapor berjaya mengumpul RM66,000 melalui lelongan persendirian iaitu sehelai tuala terpakai dan sebelah selipar miliknya bagi melunaskan baki kos guaman tertunggak.

Kos tersebut adalah rentetan kekalahan Jamal dalam kes saman fitnah difailkan Teresa berkaitan isu dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada 2017.

Walaupun Jamal mendakwa lelongan itu adalah usaha "ikhlas" untuk membayar hutang, Kok melihatnya sebagai satu lagi siri serangan peribadi yang merendahkan martabat politik.

Ini bukanlah kritikan yang sah. Ia merupakan provokasi yang disengajakan serta serangan peribadi melalui bahasa yang menjatuhkan maruah dan tidak bertanggungjawab," katanya.

Dia turut mengingatkan Jamal mengenai perintah injunksi Mahkamah Tinggi yang masih berkuat kuasa. Katanya, tindakan mengkitar semula fitnah lama atau mencabar kewibawaan keputusan mahkamah boleh membawa padah undang-undang yang lebih berat.

“Perintah mahkamah bukan sesuatu yang boleh diabaikan, dan tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang.

“Sekiranya kenyataan berunsur fitnah ini berterusan, dan jika terdapat sebarang pelanggaran lanjut terhadap perintah injunksi Mahkamah Tinggi, maka saya tidak mempunyai pilihan selain mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Ini, termasuk prosiding penghinaan mahkamah bagi mempertahankan kewibawaan mahkamah serta melindungi reputasi dan integriti saya," katanya.

Menurut Kok, dia selama ini memilih untuk bersikap sabar dan tidak melayan setiap provokasi kerana enggan rakyat Malaysia terus disogok dengan kontroversi politik yang tidak membina.

Bagaimanapun, tindakan terbaru Jamal yang seolah-olah mahu "membuka semula" kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada Julai 2024 disifatkan sebagai melampaui batas.

“Saya dengan tulus berharap agar beliau bermuhasabah, menghentikan sindiran berunsur fitnah, dan bertindak secara bertanggungjawab pada masa hadapan,” katanya lagi.

Kok memenangi saman fitnah tersebut pada 2022 apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 serta kos guaman, setelah mendapati kenyataan Jamal bahawa pemimpin DAP itu menyalahgunakan dana Yawas adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Jamal kemudian membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, namun rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 2024, dan dia diperintahkan membayar RM50,000 kos.

Pada 29 Mac 2023, panel Mahkamah Rayuan berbeza membenarkan Jamal menangguhkan pembayaran ganti rugi RM300,000, tetapi mengarahkannya mendepositkan jumlah itu kepada firma guaman Kok sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk mendapatkan kebenaran merayu, selepas mendapati ia tidak memenuhi ambang bayaran ganti rugi di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Mahkamah pada 28 Jan lalu telah menyita 14 barangan milik Jamal bagi mendapatkan kembali RM66,061.85 kos guaman tertunggak yang perlu dibayar kepada Kok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS