Walaupun kelihatan luar biasa, sebelah selipar terpakai dan sehelai tuala yang pernah dipakai ketika demonstrasi berjaya membantu Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos mengumpul RM66,000 melalui satu lelongan persendirian pagi ini.
Jumlah tersebut digunakan bagi melunaskan kos mahkamah tertunggak dalam kes saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok terhadapnya.
Lelongan yang diadakan di rumah Jamal dan dikendalikan oleh pelelong profesional berlesen itu disahkan peguamnya, Imran Thamrin, kepada Malaysiakini.
Item utama lelongan ialah tuala yang dipakai Jamal semasa protesnya di luar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 2016 — barangan yang secara tidak dijangka meningkat nilainya sejak pertama kali digunakan.

Kedua-dua selipar dan tuala terpakai itu masing-masing dijual pada harga RM33,000, nilai yang setanding dengan barangan jenama pereka terkenal.
Malaysiakini semalam melaporkan lelongan diperintahkan mahkamah terhadap 14 aset Jamal yang disita pada Januari telah ditangguhkan susulan permohonan saat akhir oleh anak ahli politik itu.
"Lelongan selipar dan juga tuala tadi telahpun dijalankan lah di rumah Datuk Seri Jamal secara lelongan oleh pelelong professionallah.
"Dan hasil daripada jualan tadi, untuk kedua dua item tersebut berjaya dilelong dengan harga keseluruhan kutipan RM66,000 untuk kedua-dua item tersebut," kata Imran.

Menurutnya, pembeli sanggup membeli tuala dan selipar itu kerana nilai "sentimental."
"Tuala itu adalah tuala yang Jamal pakai ketika demo cuma ada satu lah, lagi satu tuala tu kita masih simpan la - Datuk Seri Jamal masih menyimpan satu lagi tuala (yang dipakai) ketika demo bantahan berkenaan dengan isu air di negeri selangor satu ketika dulu lah, pada 2016, 2017 yang lepas.
"Yang selipar tu adalah selipar yang biasa beliau pakai lah utk kegunaan harian dan yang datang tadi ada orang awam, ada juga di kalangan rakan rakan dan juga kenalan Datuk Seri Jamal yang memang nak bantu dan nak tolong beliaulah,” kata Imran.
Imran menambah kira-kira 12 hingga 13 individu daripada 30 hingga 40 hadirin telah mendaftar dan membayar deposit untuk menyertai bidaan, yang bermula pada harga RM10,000 bagi kedua-dua barangan tersebut.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Jamal membayar RM300,000 ganti rugi serta RM50,000 kos guaman kepada Kok dalam kes fitnah berkaitan kenyataannya semasa sidang media mengenai dana Yayasan Warisan Anak Selangor.
Kok dalam saman tersebut mendakwa Jamal membayangkan dia menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi serta menggambarkannya sebagai tidak beretika.
Jamal kemudian membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, namun rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 2024, dan dia diperintahkan membayar RM50,000 kos.
Pada 29 Mac 2023, panel Mahkamah Rayuan berbeza membenarkan Jamal menangguhkan pembayaran ganti rugi RM300,000, tetapi mengarahkannya mendepositkan jumlah itu kepada firma guaman Kok sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk mendapatkan kebenaran merayu, selepas mendapati ia tidak memenuhi ambang bayaran ganti rugi di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Mahkamah pada 28 Jan lalu telah menyita 14 barangan milik Jamal bagi mendapatkan kembali RM66,061.85 kos guaman tertunggak yang perlu dibayar kepada Kok.
Pada hari sama, Jamal memaklumkan kepada wartawan bahawa dia merancang melelong beberapa pasang selipar dan kasutnya untuk membayar gati rugi kepada Kok.
