Rakyat Palestin yang menuntut di universiti awam di negara ini tidak dibiayai oleh dana kerajaan, sebaliknya melalui dana sumbangan orang awam termasuk yayasan.
Menjelaskan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata dana bagi membiayai pengajian mereka dikelola oleh Kementerian Luar Negeri.
Katanya, antara badan yang banyak membantu pelajar Palestin ini antaranya Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor; Pejabat Menteri Besar Johor; Majlis Agama Islam Johor (MAIJ); Yayasan Al Bukhary dan Malaysia Relief Agency.
"Bantuan ini tak babitkan dana kerajaan, sebaliknya dana selepas bantuan dikutip daripada masyarakat awam dan juga sektor korporat.
"Dana ini dikelola Kementerian Luar Negeri untuk pastikan ia boleh disalurkan secara telus dan dikutip secara telus," katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Adam Adli menjawab soalan tambahan dibangkitkan oleh Pang Hok Liong (PH Labis) berhubung isu tajaan pelajar asing di pusat pengajian tinggi awam.

Pang mempersoalkan relevan kerajaan menaja pelajar asing, sedangkan pelajar tempatan khususnya daripada golongan B40 menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bantuan.
Adam menegaskan bahawa kerajaan tidak menyalurkan bantuan kepada pelajar Palestin seperti dinikmati penuntut tempatan.
Katanya, dana sumbangan orang ramai yang disalurkan kepada pelajar Palestin setakat ini membabitkan kos sebanyak RM4.3 juta.
"Jumlah penyaluran (dana) RM4.3 juta, bantuan yuran pengajian hanyalah RM1.2 juta, selebihnya RM3.1 juta itu (bagi tujuan) sara hidup.
"Sekali lagi saya kena ulang balik ia (dana) bukan datang daripada perbelanjaan kerajaan seperti yang disalurkan kepada pelajar tempatan sebaliknya, bantuan khas one-off yang dikutip menerusi tabung yang diwujudkan Kementerian Luar Negeri," katanya lagi.
Menurutnya sehingga 30 Sept 2025 terdapat seramai 558 orang pelajar Palestin yang sedang mengikuti pelajaran di universiti awam.
