Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buat kerja bukan lesen Azam Baki kebal siasatan, kata PAC

Seseorang penjawat awam yang membuat kerja tidak mengecualikan mereka, termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, daripada siasatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Mas Ermieyati Samsudin.

Menghalakan kritikan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Mas Ermieyati turut meluahkan rasa terkejut terhadap tindakan Anwar yang mempertahankan Azam.

Azam Baki

"Saya amat terkejut (mengetahui) perdana menteri membuat kenyataan sedemikian (malam tadi). Ini adalah kenyataan yang saya tidak jangkakan akan keluar daripada beliau.

"Ia berbahaya kerana melibatkan isu institusi, salah laku, dan amalan dua darjat terhadap penjawat awam lain.

"Bagi saya, ini perkara yang sangat serius, dan saya tegaskan (seperti yang saya katakan semalam), kerajaan mesti jawab perkara ini (dengan serius).

"Dan perdana menteri tidak seharusnya memandang ringan hal ini," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir ialah pemimpin Pejuang Rafique Rashid Ali dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid.

Susulan pendedahan mengenai pemilikan saham Azam oleh Bloomberg dan Malaysiakini, Anwar bertindak mempertahankan ketua SPRM itu dengan penuh bersemangat.

"Orang buat kerja, nak pecat pasal apa? Baca penjelasan dia. Ini suatu penyakit, orang buat kerja you (awak) maki buat apa.

"Wrong (Salah). Dengar penjelasan masing-masing," katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), di Kuala Lumpur, malam tadi.

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendedahkan Azam pada satu ketika memegang jumlah saham yang besar dalam dua syarikat senaraian awam.

Azam pernah memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan sekitar 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.

Ketua SPRM itu berkata dia telah mengisytiharkan semua pegangan sahamnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan telah melupuskan portfolionya menjelang Julai tahun lalu, walaupun dia tidak menyatakan tarikh yang khusus.

Antara 1 Jun dan 31 Julai tahun lepas, saham Velocity Capital Partner didagangkan serendah RM0.06 sesaham dan RM0.075 sesaham.

Jika Azam melupuskan sahamnya dalam syarikat itu dalam tempoh tersebut, nilai saham berkenaan boleh mencecah antara RM1.06 juta dan RM1.327 juta.

Bagi Awanbiru Technology pula, harga saham mereka dalam tempoh 1 Jun hingga 31 Julai 2025 adalah dalam lingkungan RM0.275 sesaham hingga RM0.305.

Jika Azam melupuskan sahamnya dalam syarikat itu dalam tempoh tersebut, nilai saham berkenaan boleh mencecah antara RM1.24 juta dan RM1.378 juta.

Potensi nilai pegangan saham ketua SPRM itu telah mencetuskan persoalan sama ada dia melanggar peraturan perkhidmatan awam yang mengehadkan pembelian saham tidak melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau RM100,000 pada nilai semasa.

Atas dasar itu, Mas Ermieyati mengulangi gesaannya agar Azam meletak jawatan dan disiasat berhubung skandal tersebut.

"Saya percaya desakan supaya beliau (Azam) meletak jawatan dan disiasat semakin kuat hari ini. (Pihak berkuasa) tolonglah berlaku adil. Jangan amalkan 'double standard' dengan orang lain boleh disiasat dan diambil tindakan.

"Banyak perkara meragukan (dalam laporan baru-baru ini) yang perlu dijawab secara tuntas oleh Azam," tambah ahli Parlimen Bersatu itu.

Sementara itu, Rafique mempersoalkan mengapa Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009, yang memberi kuasa kepada pegawai kanan SPRM untuk memaksa mana-mana individu mendedahkan maklumat mengenai aset mereka, tidak digunakan dalam kes ini.

"Dahulu, mereka yang dikaitkan dengan kerajaan terdahulu (atau) pernah berada di puncak, akan dikenakan (notis di bawah) Seksyen 36(1).

"Mereka akan menerima notis yang menyatakan jika tidak mengisytiharkan (aset), mereka akan ditahan atau dipanggil untuk siasatan.

"Sekarang ia sudah jelas; Bloomberg menerbitkan artikel semalam dan (laporan) hari ini lebih meletup. Bukankah Seksyen 36(1) perlu digunakan?" soalnya.

Rafique turut menarik perhatian bagaimana SPRM memburu berterusan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Daim Zainuddin – termasuk anak-anak mereka – tetapi dilihat melengah-lengah kes ini.

"Sebab itu ahli-ahli parlimen wajib untuk bertanya hal ini, mengapa ada 'double standard'?" soalnya lagi.

Mengulas reaksi Anwar, Rafique berkata perdana menteri melakukan kesilapan besar apabila "cuba" menyapu perkara itu ke bawah permaidani.

"Ini soal integriti, sistem dan kredibiliti SPRM di mata rakyat.

"Rakyat tidak lagi mempercayai sistem, jadi jangan persoalkan apabila rakyat keluar dan menuntut keadilan," tambahnya.

Rafique menyatakan bahawa inilah masanya untuk Anwar membuktikan kepada orang ramai bahawa dia serius dalam memerangi rasuah.

"Ini adalah masa yang paling sesuai untuk Anwar membuktikan sama ada dia hanya sekadar bercakap atau akan mengambil tindakan tegas, (kerana) undang-undang kita sangat jelas.

"Individu yang menasihati pelantikan, pelanjutan, dan penamatan ketua SPRM adalah perdana menteri.

"Jika perdana menteri tidak bertindak, ini bermakna beliau bersekongkol," dakwanya.

Sementara itu, Rosol berkata adalah lebih baik jika perdana menteri merehatkan Azam sementara menunggu siasatan.

"Ini kerana perkara ini melibatkan hierarki tertinggi (SPRM). Agensi penguatkuasaan sepatutnya menegakkan keadilan, bukan sebaliknya," tambah wakil rakyat Bersatu itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS