Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sekali lagi menjadi sorotan selepas laporan media mendedahkan dia pernah memiliki pegangan saham yang besar dalam dua syarikat tersenarai awam.
Walaupun Azam menegaskan dia tidak melakukan sebarang kesalahan dan telah mengisytiharkan pegangan saham tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), seorang ahli politik mempersoalkan bagaimana penjawat awam mampu membeli saham yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit.
Ketua agensi antirasuah itu dipetik wawancara bersama sebuah portal berita berkata selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam, dia mempunyai wang yang “lebih daripada mencukupi” untuk menampung pembelian saham tersebut.
“Sebagai penjawat awam yang telah berkhidmat lebih 40 tahun dalam perkhidmatan awam dengan Gred Utama Turus II, pencen dan ganjaran saya, ditambah gaji dan simpanan, lebih daripada mencukupi untuk menampung pembelian saham saya.

“Tiada apa yang menyalahi undang-undang bagi mana-mana warganegara memperoleh saham melalui pendapatan yang sah,” kata Azam seperti dipetik The Vibes.
Bagaimanapun, Azam tidak mendedahkan jumlah pendapatan bulanannya daripada gaji dan pencen, mahupun jumlah ganjaran yang diterimanya daripada kerajaan selepas mencapai umur persaraan wajib pada 2023.
Pertanyaan telah dihantar kepada SPRM bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai angka tersebut.
Walaupun belum menerima maklum balas, Malaysiakini meneliti beberapa dokumen awam dalam talian yang dapat memberi gambaran mengenai pendapatan bulanan ketua pesuruhjaya SPRM.
Gred Turus II
Jawatan ketua pesuruhjaya SPRM berada pada gred gaji Utama Turus II, antara kedudukan tertinggi dalam pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.
Gred ini hanya dua tangga di bawah Ketua Setiausaha Negara dan biasanya dikhaskan untuk jawatan kanan seperti ketua setiausaha kementerian dan ketua polis negara.
Menurut kod gaji terkini perkhidmatan awam, gred Turus II menawarkan gaji bulanan minimum RM11,380 dan boleh mencecah RM31,140.

Gaji ini disertai kenaikan tahunan sembilan peratus, tetapi dihadkan kepada RM612.08 setahun bagi mereka yang telah mencapai gaji maksimum.
Maklumat ini berdasarkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia bermula Disember 2024.
Pegawai Turus II turut menerima elaun perumahan tetap RM2,500 dan elaun keraian RM5,100, menurut dokumen yang diterbitkan di laman web JPA.
Malaysiakini difahamkan terdapat juga beberapa elaun lain bagi menampung perkhidmatan pembantu peribadi dan bil utiliti.

Selain itu, pegawai pengurusan tertinggi turut menikmati pelbagai kemudahan lain seperti kenderaan rasmi dan pemandu.
Selepas bersara, penjawat awam yang berkhidmat lebih 30 tahun boleh menerima pencen bulanan sehingga 60 peratus daripada gaji terakhir mereka.
Mereka juga menerima bayaran ganjaran yang dikira berdasarkan gaji terakhir dan tempoh perkhidmatan (7.5 peratus darab jumlah bulan perkhidmatan darab gaji terakhir).
Secara pengiraan mudah, pegawai Turus II yang berkhidmat sekitar 40 tahun sehingga bersara — seperti Azam — boleh menerima ganjaran sekitar RM400,000 hingga sedikit melebihi RM1 juta, serta pencen bulanan antara RM6,800 hingga RM18,600.
Had pemilikan saham
Semalam, bekas ahli parlimen DAP Tony Pua membangkitkan isu pemilikan saham Azam dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partner Bhd.
Perkara itu timbul selepas Bloomberg melaporkan Azam disenaraikan sebagai pemegang 17.7 juta saham syarikat berkenaan berdasarkan penyata tahunan yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.
Pada harga penutup Isnin, pegangan tersebut bernilai kira-kira RM800,000.
Susulan pendedahan itu, Azam berkata dia telah mengisytiharkan pegangan saham tersebut kepada JPA namun tidak menjawab isu ketidakpatuhan terhadap had RM100,000 bagi setiap syarikat yang dikenakan kepada penjawat awam.

Azam juga berkata dia telah melupuskan saham tersebut pada tahun yang sama ia dibeli.
Walaupun tidak diketahui jumlah sebenar yang dibayar untuk saham berkenaan, harga terendah saham Velocity Capital tahun lalu ialah RM0.015 seunit, bermakna pegangan Azam mungkin bernilai sekurang-kurangnya RM265,500.
Selepas itu, Malaysiakini melaporkan Azam turut memiliki saham dalam sebuah lagi syarikat yang mungkin tidak mematuhi peraturan had pembelian saham bagi penjawat awam dalam satu entiti.
Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan setakat 13 Januari, Azam memiliki lebih 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad, bersamaan pegangan 1.08 peratus.
Harga saham tersebut pada 13 Januari ialah RM0.305 sesaham, menjadikan nilai pegangan Azam hampir RM1.38 juta ketika itu.
Walaupun tidak diketahui bila saham itu dibeli, harga terendah saham Awanbiru Technology dalam tempoh lima tahun lalu ialah RM0.175 sesaham pada 12 Julai 2023. Pada harga itu, 4.52 juta saham bernilai lebih RM790,000.
Pendedahan ini mencetuskan gesaan supaya Azam meletakkan jawatan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim — yang telah melanjutkan tempoh perkhidmatan ketua SPRM itu sebanyak tiga kali — mengambil tindakan.
