Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Selangor buat mesyuarat keselamatan, tetap garis panduan isu kuil
Diterbitkan:  Feb 13, 2026 9:33 AM
Dikemaskini: 1:33 AM

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negeri semalam susulan insiden di Rawang, di mana seorang aktivis yang berkempen menentang rumah ibadat tidak sah merobohkan sebuah kuil Hindu.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pegawai daerah turut hadir mesyuarat tersebut.

“Kejadian di Rawang telah mencetuskan kegusaran dan kerisauan dalam kalangan rakyat.

“Ini perlu ditangani segera untuk mengelakkan sebarang insiden yang akan menggugat keharmonian negeri atas faktor kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan semalam.

Amirudin menegaskan bagi rumah ibadat yang dibina di atas tanah persendirian, proses sedia ada menghendaki pemilik tanah melantik peguam dan mendapatkan perintah mahkamah sebelum apa-apa pengusiran atau perobohan dilakukan.

“Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah. Ini berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah,” katanya lagi.

Menangani pencerobohan

Dengan mengambil kira aspek keselamatan, Amirudin berkata Majlis Keselamatan Negeri Selangor memutuskan pemilik tanah yang mengesan pencerobohan, termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan, mesti membuat laporan polis.

“Ini akan membolehkan pihak PDRM menyiasat dan sekiranya terbukti, proses pendakwaan bagi kesalahan pencerobohan akan bermula,” katanya.

Katanya lagi, pemilik tanah juga perlu mengeluarkan notis kepada pihak yang menceroboh serta memaklumkannya secara rasmi kepada pejabat daerah.

“Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan oleh pegawai daerah telah diaktifkan di semua daerah di Selangor

“JKD sebagai pengantara akan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM dan PBT bagi mencapai penyelesaian yang munasabah,” katanya lagi.

Dia berkata jika proses itu tidak membuahkan hasil, JKD akan mengesyorkan pemilik tanah untuk meneruskan tindakan mahkamah.

“Pendekatan ini digunakan supaya keseluruhan proses ini melibatkan pihak berkuasa dan mengelakkan daripada sebarang insiden yang mampu mencetuskan rusuhan untuk berlaku,” katanya.

Bagi rumah ibadat tidak sah yang didirikan di atas tanah kerajaan negeri, Amirudin berkata dia telah mengarahkan prosedur sedia ada diperketat, dengan penguatkuasaan segera di peringkat PBT.

Dia juga mengarahkan penguatkuasaan lebih jelas terhadap prosedur operasi standard jawatankuasa khas agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao di Selangor, dikenali sebagai Limas.

Pada Rabu lalu, polis menahan aktivis, Tamim Dahri dan tiga individu lain berhubung perobohan kuil di Rawang.

Mereka berkata tindakan itu adalah respons kepada seruan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim agar pihak berkuasa tempatan “membersihkan” rumah ibadat tidak sah.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan perintah reman dua hari terhadap mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS