Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin kecewa Muhyiddin tak beritahu pemimpin Bersatu nak letak jawatan
Diterbitkan:  Feb 13, 2026 11:24 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali dilaporkan berkata Muhyiddin Yassin tidak berbincang dengan pemimpin parti komponen PN berhubung rancangannya untuk melepaskan jawatan pengerusi gabungan itu.

Menurut laporan Oriental Daily, Azmin berkata dia juga kecewa kerana tidak dimaklumkan berkenaan perkara itu terlebih dahulu, terutamanya memandangkan kepimpinan parti terpaksa menjawab soalan media dan orang ramai.

“Kita menguruskan sebuah gabungan, bukan hanya sebuah parti. Malah menguruskan sebuah cawangan kecil pun sudah mencabar, apatah lagi menguruskan parti dengan empat ideologi dan latar belakang berbeza,” katanya.

Pada masa sama, Azmin menegaskan Muhyiddin telah berjaya memimpin PN selama lima tahun lepas.

“Sejak penubuhannya, dia telah menjadi pengerusi dan berjaya menyatukan pelbagai pihak di bawah panji PN.

“Kita juga mahu beri peluang kepada rakan lain. Tetapi apabila dia (Muhyiddin) mengumumkan keputusannya di London, dia tidak berunding dengan kami terlebih dahulu.

“Sebagai setiausaha agung, saya langsung tidak menerima sebarang makluman. Jadi, kami agak kecewa ketika itu kerana terpaksa berdepan media dan orang ramai yang bertanya, ‘apa yang berlaku?’” katanya lagi.

Azmin bagaimanapun berkata selepas Muhyiddin pulang dari London, satu perbincangan telah diadakan di mana dia menjelaskan sebab-sebab melepaskan jawatan itu.

“Kami memahami yang dia alasan alasan yang kukuh untuk membolehkan rakan-rakan lain mengambil alih kepimpinan, dan kami menghormati keputusan itu,” katanya.

Azmin menegaskan peletakan jawatan Muhyiddin bukanlah satu krisis, tetapi sebahagian daripada rancangan peralihan dalam PN.

Sehingga kini, katanya lagi, Muhyiddin kekal sebagai pengerusi PN kerana proses peletakan jawatan belum selesai.

“Kita juga mesti patuhi Perlembagaan PN. Menurut Artikel 8.3, Perenggan 1b Perlembagaan PN, peletakan jawatan pengerusi mesti diluluskan oleh majlis tertinggi sebelum ia berkuat kuasa.

“Oleh itu, sehingga kini dia masih pengerusi PN. Bukan kerana dia mahu tarik balik peletakan jawatan, tetapi kerana prosesnya belum lengkap.”

Calon pengerusi PN

Pada minggu lepas, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata parti itu sudah mempunyai calon sebagai pengerusi PN yang akan datang, tetapi menekankan keputusan muktamad akan dibuat oleh majlis tertinggi selaras dengan perlembagaan gabungan itu.

Dia memaklumkan yang calon tersebut ialah seorang anggota Parlimen dan pemimpin kanan PAS.

Katanya, PN berhasrat mengadakan mesyuarat majlis tertinggi tidak lama lagi, dengan kehadiran semua empat presiden parti komponen, untuk membincangkan pelantikan pengerusi baru.

Timbalan setiausaha agung PN itu juga berkata surat jemputan telah dihantar kepada presiden parti komponen, yang dijangka diadakan selepas 20 Februari.

Sebelum ini, bekas setiausaha peribadi utama Muhyiddin, Marzuki Mohamad, memaklumkan bahawa Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) membantah jawatan tertinggi PN itu dipegang oleh PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS