Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP kerajaan usul Dewan Rakyat bahas isu pemilikan saham Azam Baki

Seorang Anggota Parlimen erajaan telah memfailkan usul bagi memohon Dewan Rakyat membahaskan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dalam dua syarikat senaraian awam yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya ratusan ribu ringgit.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata dia telah menyerahkan usul berkenaan ke pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat petang semalam.

"Ya, saya telah menyerahkan usul tersebut kira-kira jam 1.35 petang tadi (Khamis) kepada pejabat Speaker untuk mengetahui, antara lain, jika siasatan akan dimulakan berhubung dakwaan terhadap Azam mengenai pemilikan saham dalam syarikat Velocity dan Awanbiru.

"Saya berharap usul ini akan diputuskan secepat mungkin," katanya melalui pesanan teks.

Malaysiakini telah menghubungi Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, untuk mendapatkan maklum balasnya.

Usul tersebut di tengah tekanan yang semakin memuncak terhadap kerajaan untuk menyiasat Azam, yang pada satu ketika dilaporkan memegang jumlah saham yang besar dalam syarikat perkhidmatan kewangan, Velocity Capital Partner Bhd dan Awanbiru Technology Berhad.

Berdasarkan laporan Bloomberg, Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital, merujuk kepada laporan tahunan yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu. Mengikut harga penutupan pada Isnin lalu, pegangan tersebut bernilai kira-kira RM800,000.

Azam Baki

Susulan pendedahan itu, Azam menegaskan bahawa dia telah mengisytiharkan pemilikan sahamnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Bagaimanapun, dia tidak mengulas mengenai pelanggaran terhadap pekeliling penjawat awam berhubung had RM100,000 bagi setiap pembelian saham.

Azam juga mendakwa dia telah melupuskan saham-saham tersebut dalam tahun yang sama ia dibeli.

Walaupun harga belian yang dibuatnya tidak diketahui, harga terendah saham Velocity Capital yang didagangkan tahun lalu adalah RM0.015 seunit. Ini bermakna pegangannya bernilai sekurang-kurangnya RM265,500.

Selain itu, Malaysiakini melaporkan bahawa Azam turut memegang saham dalam sebuah lagi syarikat, yang mungkin juga tidak mematuhi peraturan had pemilikan saham bagi penjawat awam.

Rekod daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan setakat 13 Januari, Azam memegang lebih 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology, mewakili 1.08 peratus kepentingan.

Saham tersebut dinilai pada RM0.305 seunit pada 13 Januari, menjadikan nilai pegangan Azam hampir RM1.38 juta pada waktu itu.

Walaupun tarikh pembelian tidak dinyatakan, harga terendah saham Awanbiru Technology dalam tempoh lima tahun lalu adalah RM0.175 seunit, iaitu pada 12 Julai 2023. Pada harga tersebut, 4.52 juta saham berkenaan masih bernilai lebih RM790,000.

Pendedahan itu telah membangkitkan gesaan agar Azam meletak jawatan selain desakan tehadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim—yang telah melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam sebanyak tiga kali—untuk mengambil tindakan tegas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS