Lembaga Disiplin Bersatu memecat timbalan presiden parti, Hamzah Zainudin berkuat kuasa hari ini.
Ini berdasarkan notis yang dikeluarkan oleh pengerusi lembaga disiplin, Mohd Radzi Manan yang dilihat oleh Malaysiakini.
Surat bertarikh hari ini menyatakan bahawa Hamzah disingkirkan kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti.
“Adalah dimaklumkan bahawa Pihak Lembaga Disiplin telah bersidang pada 12 Februari 2026 dan telah memutuskan bahawa Datuk Seri dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuatkuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan.
“Ia kerana tindakan Datuk Seri melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu. Sila ambil perhatian bahawa notis ini berkuat kuasa serta-merta,” kata Mohd Radzi.
Bagaimanapun, menurutnya, Hamzah boleh mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis tersebut
Mohd Radzi juga tidak menyatakan kesalahan khusus anggota parlimen Larut itu.
Sementara itu, Stiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali dalam satu kenyataan mengesahkan pemecatan Hamzah.
Katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah dimaklumkan oleh Lembaga Disiplin tentang keputusan untuk memecat Hamzah mengikut Fasal 22.5 perlembagaan Bersatu.
Keputusan itu dibuat ketika kemuncak perebutan kuasa dalaman antara Muhyiddin dan Hamzah.
