mk-logo
Berita
Muhyiddin: Sekian lama saya berhemah hadapi sabotaj dalaman, tapi tak dihargai
Diterbitkan:  Feb 14, 2026 1:46 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Susulan pemecatan Hamzah Zainudin semalam, Bersatu mengumumkan pelantikan dua naib presidennya, iaitu Mohd Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu, bagi menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebulat suara bersetuju melantik Mohd Radzi dan Ahmad Faizal untuk menjalankan tugas-tugas tersebut.

“Saya menyeru seluruh ahli Bersatu supaya kekal tenang dan terus memberi kepercayaan kepada barisan kepimpinan yang ada untuk mengemudi parti kembali ke landasan perjuangan asalnya dalam membela nasib rakyat.

“Saya yakin, dengan semangat kebersamaan dan kesetiaan kepada perjuangan parti, kita akan mampu mengharungi apa jua cabaran dan dugaan yang mendatang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam Lembaga Disiplin Bersatu telah memecat 17 ahlinya termasuk Hamzah yang juga anggota Parlimen Larut.

Turut dipecat ialah ahli MPT yang juga Anggota Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Anggota Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob, dan Anggota Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.

Dua Adun yang dipecat ialah Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik, Perak) dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban, Melaka), yang juga ketua pembangkang negeri itu.

Hamzah Zainudin

Selain itu, sembilan ketua bahagian Bersatu yang dipecat ialah Mohd Hassuandi Hamzah (Larut); Yunus Nurdin (Libaran); Abdul Aziz Ismail (Dungun); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan); Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) serta Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah).

Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah Nabila Norsahar, dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Mohamad Shafiq Abdul Halim.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, mesyuarat khas MPT itu turut membincangkan angkah memperkukuhkan parti susulan tindakan disiplin yang telah diambil semalam.

Ruang telah diberi

Dia berkata tindakan itu adalah sebahagian daripada mekanisme bagi memastikan Bersatu kekal stabil, kukuh dan berintegriti, dan bukan diambil secara sewenang-wenangnya.

“Sebelum sebarang keputusan dibuat, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mencari titik perdamaian serta menyelamatkan parti melalui siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat. Namun demikian, ia tidak berhasil.

“Malah, terdapat segelintir pihak yang berterusan melakukan sabotaj…Sekiranya perbuatan ini dibiarkan, ia akan merosakkan parti serta mengecewakan ahli-ahli yang setia kepada perjuangan Bersatu.

“Sebagai presiden dan pengasas Bersatu, saya memikul tanggungjawab besar untuk memastikan parti ini terus kukuh dan berada di landasan perjuangannya yang sebenar. Saya dan rakan-rakan seperjuangan sejak awal penubuhan parti tidak rela melihat Bersatu dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Tambah bekas perdana menteri itu, selama bertahun-tahun dia mengambil pendekatan berhemah dalam menghadapi pelbagai bentuk sabotaj dalaman dan tekanan dari dalam parti sendiri. 

“Saya juga telah memberi ruang dalam barisan kepimpinan kepada individu yang diketahui mempunyai perbezaan pendapat dengan saya, atas dasar sangka baik dan demi memastikan perpaduan serta kestabilan parti.

“Namun, usaha tersebut tidak dihargai. Tindakan-tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan dan disiplin parti terus dilakukan,” katanya.

Sehubungan itu tegas Muhyiddin lagi, dia bersama barisan kepimpinan Bersatu berpendirian sudah tiba masanya proses disiplin yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti dilaksanakan.

“Ini merupakan langkah yang perlu dan terbaik pada masa ini,” katanya lagi.

Proses pendewasaan parti

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali berkata mesyuarat khas itu membincangkan langkah bagi memperkukuhkan parti dan mengenal pasti kawasan tumpuan berdepan pilihan raya akan datang.

“Semua cadangan (yang diterima) ini kita akan perkemaskan dan terus maju ke hadapan, saya yakin ini adalah sebahagian proses kematangan parti yang perlu kita lalui dengan bijaksana dan berhemah.

Azmin Ali

Ditanya jika pemecatan Hamzah memberi imej buruk kepada Bersatu, Azmin berkata tidak dan sebaliknya menyifatkannya sebagai proses pendewasaan parti.

“Setelah sembilan tahun parti ini dibina, pastinya ada pindaan, perubahan yang perlu dilakukan…semua parti melalui proses yang sama,” katanya.

Azmin berkata kesemua yang dipecat boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari.

“Terpulang kepada mereka yang dijatuhkan hukuman untuk merayu. Kita dalam Bersatu ada kaedah untuk menguruskan dan menangani krisis seperti ini dan semua ahli tidak terkecuali daripada perlembagaan dan peruntukan dalam parti.

“Alhamdulillah kita akan bina semula beberapa bahagian yang terjejas dan kenal pasti usaha-usaha yang kita akan lakukan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS