Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah: Hari ini saya penentang nombor satu Muhyiddin

Enam tahun lalu, Universiti Malaya Alumni Clubhouse (PAUM) menjadi lokasi yang membawa kepada kebangkitan Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin dalam Bersatu, ketika dia memegang jawatan setiausaha agung parti itu.

Pada masa itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti pada Jun 2020 bagi memuktamadkan pemecatan presiden pengasas Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya — satu langkah yang menurut penyokong bekas perdana menteri itu dikaitkan dengan Hamzah.

Empat bulan sebelumnya, Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Susulan pergolakan politik yang tercetus akibat tindakan lompat parti bekas ahli parlimen PKR yang dipimpin oleh timbalan presiden PKR ketika itu, Azmin Ali, Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri manakala Hamzah menjadi Menteri Dalam Negeri di bawah kerajaan pimpinan PN.

Hari ini, Hamzah kembali semula ke PAUM sehari selepas dia dipecat sebagai timbalan presiden Bersatu, bersama 16 lagi pemimpin dan ahli parlimen parti itu yang dituduh cuba menjatuhkan Muhyiddin serta mencemarkan imej parti.

Ratusan penyokongnya, kebanyakannya berpakaian putih, berhimpun di bawah seruan untuk “Reset” landskap politik.

Hamzah yang naik ke pentas sebagai penceramah terakhir, terlebih dahulu menerima “Deklarasi Kuala Lumpur” daripada Naib Pesiden Bersatu, Ronald Kiandee, penganjur majlis yang setakat ini tidak dikenakan tindakan disiplin.

Dalam ucapan berapi-api, Hamzah memohon maaf kepada penyokongnya dan menyatakan dia tidak akan merayu terhadap pemecatannya.

"Saya maklumkan pada semua… saya tidak tahu apa yang berlaku! Hari ini saya berucap kerana saya tidak tahu!

"Apa punya hantu! Hantu apa yang ada dalam Bersatu ni?

"Dalam PAT (Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu) saya bangun kata saya orang nombor satu sokong presiden. Hari ni saya nak kata sayalah penentang nombor satu pada presiden!” katanya disambut sorakan hadirin.

‘Rakyat bukan mahu anak tok guru…”

Terdahulu, Hamzah mengingatkan Muhyiddin bahawa dia masih kekal sebagai ketua pembangkang di parlimen.

"Wahai Bersatu, dengar di sini saya masih lagi ketua pembangkang, ahli parlimen, saya berjuang bersama rakan-rakan saya.

"Apa yang rakyat mahukan, rakyat mahukan kepimpinan demi masa depan mereka, rakyat perlukan perjuangan daripada semua yang ikhlas, yang jujur.

"Rakyat bukan mahu anak tok guru, rakyat bukan mahukan anak ulama, tapi rakyat mahukan pemimpin, yang tahu akan melihat segala masalah di bawah sana,” tegasnya.

Hamzah turut menyindir kajian badan pemikir Institut Masa Depan Malaysia (Masa) yang menyatakan tahap kepuasan terhadap kepimpinan dan pentadbiran Anwar Ibrahim meningkat.

Menegaskan bahawa badan pemikir itu dipengerusikan Muhyiddin, Hamzah mendakwa Ahli Parlimen itu merancang untuk bekerjasama dengan PH.

Selain ahli dan ketua bahagian Bersatu, Ronald dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyatie Samsudin - turut menyatakan sokongan terhadap Hamzah dalam ucapan mereka.

Barisan bekas pemimpin dan ahli parlimen Bersatu yang dipecat parti itu semalam juga duduk di pentas utama hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS