Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tak campur hal Bersatu, nafi 'kenakan' Muhyiddin - Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan parti itu tidak pernah mencampuri urusan Bersatu susulan krisis dalaman parti komponen PN itu.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, yang mengatakan PAS menyokong Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin sebagai langkah “mengenakan” Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Jelas Tuan Ibrahim, polemik dalam Bersatu telah bermula sejak Perhimpunan Agung parti itu apabila beberapa ahli parlimennya digantung atau dipecat.

“Ulasan Azmi Hassan ini tidak benar. PAS tidak campur dalam urusan parti Bersatu bahkan isu dalaman Bersatu telah tercetus jauh lebih awal dari krisis (politik) di Perlis.

“Kalau dilihat dari awal ia telah menjadi polemik dalam Perhimpunan Agung Bersatu dan tindakan memecat dan mengantung beberapa ahli parlimen (Bersatu) dilihat semakin memanaskan suhu dalaman Bersatu,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan pandangan Azmi Hassan yang mengatakan PAS mengambil langkah sedemikian susulan krisis politik di Perlis.

Dalam kemelut itu, katanya, PAS menyalahkan Bersatu sebagai punca sehingga menyebabkan parti itu kehilangan kerusi menteri besar.

Justeru, katanya, apabila Hamzah disingkirkan oleh Bersatu, PAS dilihat segera membuka ruang luas dan mesra kepada bekas timbalan presiden Bersatu itu walaupun kejadian itu berlatarkan kes melawan pemimpin tertinggi parti.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mengakui krisis politik di Perlis menimbulkan kekecewaan di kalangan ahli PAS sehingga menimbulkan polemik antara parti itu dan Bersatu.

Namun katanya, keputusan Muhyiddin untuk berundur sebagai pengerusi PN adalah hak peribadi dan penggantinya akan diputuskan dalam mesyuarat gabungan itu.

PN dijangka mengadakan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi gabungan itu pada Ahad ini.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan dilapor berkata, mesyuarat khas berkenaan ditetapkan jam 3 petang di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS