Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Nasib Hamzah bergantung kemampuan kekalkan jawatan ketua pembangkang'

Ketika pertempuran kem dalam Bersatu berterusan, visi bekas timbalan presiden Hamzah Zainudin untuk melancarkan gerakan politik baru, mungkin menghadapi ujian pertamanya di parlimen.

Ahli Parlimen Larut itu yang setakat ini kekal sebagai ketua pembangkang parlimen telah mendakwa mendapat sokongan 19 daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu, yang diketuai oleh whip parlimen parti itu, Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee.

Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi, berkata walaupun "luar biasa" bagi seorang ahli parlimen bebas untuk dijadikan ketua pembangkang, tiada larangan terhadap amalan itu.

"Pelantikan ketua pembangkang adalah berdasarkan persetujuan ahli parlimen pembangkang.

"Kalau mereka setuju untuk kekalkan Hamzah, mereka boleh saja serahkan namanya kepada Speaker Dewan Rakyat," kata Asraf kepada Malaysiakini.

Selain Bersatu, barisan pembangkang juga terdiri daripada 43 ahli parlimen daripada PAS, seorang daripada Muda, dan enam bekas wakil rakyat Bersatu lain yang telah dipecat pada Jun 2024 kerana gagal berikrar taat setia kepada parti itu.

Berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022, PN telah memilih setiausaha agungnya ketika itu, Hamzah, sebagai ketua pembangkang parlimen.

Hamzah kemudiannya dilantik sebagai timbalan presiden Bersatu pada Disember 2024 dan seterusnya dilantik sebagai timbalan pengerusi PN, bersama presiden PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Keretakan semakin ketara

Walau bagaimanapun, perebutan kuasa dalaman dalam Bersatu antara Hamzah dan presiden parti Muhyiddin Yassin telah menyebabkan keretakan yang semakin melebar antara kedua-dua kem, yang mencapai kemuncaknya minggu lalu dengan pemecatan Hamzah.

Dari sudut pandangan seorang penganalisis politik, Syaza Shukri berkata Hamzah mungkin mempunyai peluang yang baik untuk mengekalkan status ketua pembangkangnya terutamanya memandangkan hubungan baiknya dengan PAS.

Merujuk kepada kegagalan PN untuk memutuskan ketua gabungan baru sejak peletakan jawatan Muhyiddin pada 1 Januari, ahli akademik itu percaya PN juga tidak mempunyai calon lain untuk menggantikan Hamzah di parlimen dan oleh itu dia "selamat buat masa ini".

"Jika tiada sesiapa yang mencabarnya sebagai ketua pembangkang dari dalam pembangkang, ia menunjukkan bahawa pada dasarnya dia masih mendapat sokongan ahli parlimen Bersatu dan PAS.

"Saya fikir ahli parlimen PAS lebih gembira untuk menyokongnya berbanding Muhyiddin kerana dia lebih mesra PAS," kata pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Jika ini berlaku, tambah Syaza, ia akan membuktikan pengaruh Hamzah melangkaui Bersatu dan menunjukkan bahawa cengkaman Muhyiddin semakin lemah.

"Satu-satunya pengaruh Muhyiddin sekarang ialah tiada sesiapa dari PAS yang boleh tampil sebagai wajah PN.

"Tetapi jika Hamzah boleh menyahut cabaran itu, maka itu penamat buat Muhyiddin," katanya.

Bersatu lemah di parlimen

Begitu juga, pemerhati politik Liyana Marzuki percaya kedudukan ketua pembangkang akan menjadi pertarungan sebenar bagi perebutan kuasa antara Muhyiddin dan Hamzah.

Dia berkata walaupun penyingkiran Hamzah mungkin membantu Muhyiddin dalam mengukuhkan kawalannya dalam parti, ia berisiko melemahkan Bersatu di parlimen.

"Oleh itu, sama ada dia (Hamzah) mengekalkan jawatan itu akan menjadi petunjuk paling jelas tentang di mana angka sebenar sokongan.

"Bagi Muhyiddin, pengukuhan kawalan parti mungkin menstabilkan Bersatu secara dalaman, tetapi ia berisiko melemahkan perpaduan parlimen jika blok yang penting keluar.

"Bagi Hamzah, tempoh akan datang akan menentukan sama ada dia kekal sebagai pemimpin kemnya, atau menjadi pusat penjajaran semula pembangkang," katanya.

Faktor PAS

Walaupun tidak menolak potensi Hamzah untuk mengekalkan jawatannya, seorang lagi pakar politik berkata hasil sedemikian hanya akan mungkin berlaku dengan PAS "mengkhianati" Muhyiddin dan Bersatu.

Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata ia bagaimanapun akan menyebabkan keretakan dalam PN yang boleh melemahkan gabungan itu.

"Tetapi bergantung kepada PAS. (Mungkin) tiba-tiba PAS kata nak sokong Muhyiddin tetapi parti itu nak pegang jawatan ketua pembangkang, ia akan jadi lain pula.

"Dinamik politik dalam PN agak sukar nak diramal. Ia bergantung kepada rundingan dan persetujuan antara parti, ini akan menentukan PN akan jadi macam mana dan kedudukan Hamzah bagaimana," katanya.

Namun, tambah profesor Universiti Utara Malaysia itu, Hamzah dan penyokong setianya perlu bergerak pantas dalam menentukan langkah seterusnya - sama ada untuk membentuk platform politik lain atau menyertai parti sedia ada.

Kata Azizuddin, jika Hamzah dan pemimpin Bersatu yang dipecat tidak mempunyai parti, ia akan menyukarkan mereka untuk mengekalkan kerusi parlimen dan DUN mereka.

Sementara bagi Muhyddin, Azizuddin berkata, Presiden Bersatu itu telah membuktikan daya tahannya dan percaya bahawa dia akan terselamat daripada pergolakan politik terbaru ini, tetapi dijangka akan menjadi lebih lemah.

Sementara itu, keputusan lembaga disiplin Bersatu untuk memecat Hamzah dan 16 pemimpin parti dan wakil rakyat lain pada 13 Februari nampaknya telah mencetuskan kesan domino.

Sejak kejadian itu, Bersatu telah menyaksikan penghijrahan beramai-ramai pemimpin akar umbi dan ahli parti, yang mengumumkan kehilangan keyakinan mereka terhadap Muhyiddin.

Beberapa bahagian dan cawangan Bersatu juga dikatakan telah dibubarkan berikutan pemergian pemegang jawatan.

Srikandi Bersatu Bukit Gelugor semalam mengumumkan pembubaran bahagian Srikandi berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dikatakan diambil setelah mengambil kira pandangan dan pendirian majoriti pemimpin dan ahli, yang telah menyatakan kehilangan keyakinan mereka terhadap kepimpinan parti semasa.

Menurut maklumat yang dikongsi oleh sumber yang sehaluan dengan kem Hamzah, sekurang-kurangnya tujuh bahagian Bersatu dan dua bahagian sayap Bersatu didakwa telah dibubarkan setakat ini.

Ini telah menyebabkan penyokong setia Muhyiddin berebut-rebut untuk meredakan keadaan, termasuk menafikan bahawa pemimpin parti di peringkat bahagian mempunyai kuasa untuk memutuskan pembubaran.

Sebaliknya, mereka menegaskan keputusan sedemikian hanya boleh dibuat oleh Majlis Tertinggi Bersatu yang dipengerusikan oleh Muhyiddin, menurut ketua maklumat Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid.

Sekumpulan pemimpin pusat Bersatu Srikandi yang diketuai oleh naib ketuanya, Nolee Ashilin Mohd Radzi, juga telah mengeluarkan kenyataan balas yang mengatakan bahawa mereka tetap setia kepada Muhyiddin.

Ini berlaku selepas ketua sayap, Mas Ermieyati Samsudin, yang merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah, dilaporkan hadir dan memberi ucapan pada satu mesyuarat di mana Hamzah mengumpulkan penyokongnya pada hari Sabtu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS