Paling Popular
Terkini

ULASAN | Saya rasalah, mungkin sepanjang sejarah negara ini, kelas politikawan tidak sebegini terpecah.

Mungkin istilah itu juga tidak pernah ada. Kalau tak ada mari kita ada-adakan. Mari kita bungkus gerombolan yang siang malam pagi petang kerjanya membebel bersembang dan berkiprah seputar permainan kuasa sebagai ‘kelas politikawan’.

Sedikit atas daripada ‘kelas membebel’ atau ‘chattering class’ yang hanya banyak berbual tanpa ikut bergulat dalam permainan yang sedemikian rancak ini.

Kalau kita ambil masa sedikit untuk mencerap dan mendengar perbualan di mana-mana, tidak sukar untuk kita membuat kesimpulan bahawa masyarakat negara ini tidak pernah sebegini terpecah. Itu kalau kita sukat suara umum. Pecahnya lebih teruk lagi kalau kita tapis mengikut spektrum politik.

Justeru selamat datang kita ucapkan ke zaman tiada lagi golongan ‘pengundi atas pagar’. Zaman ketika semua orang punya pendapat dan pendirian, dan ‘middle Malaysia’ sudah hampir sahaja lenyap sama sekali.

Kita cerakin satu-satu, supaya jelas.

Pada zaman kegemilangan gerakan Reformasi, Malaysia terbelah tiga. Paling kurang. Satu golongan menyokong Anwar Ibrahim dan ikut beraksi di jalan raya atau paling tidak mencetak tulisan-tulisan internet dan menempelkannya ke papan kenyataan bilik-bilik darjah. Atau membeli Harakah secara konsisten.

Golongan yang satu lagi tidak menyokong. Media massa ketika itu tidak sebegitu bebas, perbahasan politik agak terhad, maka perbincangan politik hanyalah bermodalkan apa yang mereka sedia tahu. Dan yang mereka tahu itu pula hanyalah apa yang direlakan oleh pemerintah.

Golongan ketiga, tidak mahu ambil tahu. Tentunya itu hak mereka.

Berkadar langsung dengan kemajuan internet dan kemahuan orang ramai mencari tahu, populasi dua golongan pertama itu ikut bertambah atau berkurang. Tetapi pilihan ada kekal sama: menyokong Reformasi, Anwar Ibrahim, PAS, Barisan Alternatif dan yang seangkatan dengannya; atau menyokong Dr Mahathir. Garisnya jelas.

Pada tahun 2008, pecahannya menjadi sedikit lebih rumit.

Parti-parti utama berpecah

Yang dahulu sokong Reformasi masih lagi ‘solid’. Tetapi yang turun-temurun pekat Umnonya sedikit terpecah. Biasalah parti Melayu, apabila kalah, mula menuding jari mencari salah. Lalu pengikut pun ikut bertelagah.

PAS pun hampir-hampir ikut bertikam kalau nak diikut nafsu kuasa berpadu bersama Umno di Selangor ketika itu. Tetapi tidak jadi. Bibit-bibitnya sudah ada.

Tahun 2015, PAS berpecah. Diikuti Umno pada tahun serupa, dan melahirkan Bersatu. Gabungan parti-parti pembangkang mendapat laba tidak diduga daripada perpecahan itu tiga tahun kemudian apabila anasir-anasir yang meninggalkan PAS serta Umno ikut serta dalam Pakatan Harapan dan melengser Najib Razak.

Barisan Nasional tersungkur dan kekuatan politiknya hancur berkecai. Parti-parti komponen BN di Borneo justeru membawa haluan dan membina kekuatan sendiri. Rakyat Malaysia pun melompat keriangan. Cumanya keriangan itu sebentar cuma.

Langkah Sheraton memecahkan gabungan parti kerajaan pada 2020 seperti pinggan terhempas ke batu. PKR kehilangan sejorong tapak sokongannya yang ikut meninggalkan parti bersama Azmin Ali.

Bersatu memecat Dr Mahathir, lalu parti itu turut kehilangan Syed Saddiq yang kemudiannya menubuhkan parti sendiri. Amanah dan DAP masing-masing juga sedikit terbelah dua, dengan satu golongan terus menyokong Anwar, manakala satu kumpulan lagi sudah sedikit ragu.

Selesai PRU15, yang pecah-pecah itu semua kembali bertaut atas nama kerajaan perpaduan. Bahkan DAP dan Umno pun sudah boleh duduk bersama dalam perkongsian kuasa yang tidak pernah dirakam sejarah.

Tetapi itu cerita empat tahun dululah.

Cerapan terhadap fabrik sosio-politik Malaysia hari ini akan menyaksikan begitu banyak perubahan dan perpecahan yang tidak pernah kita saksikan sebelumnya. Dan ia bukan setakat memberi kesan kepada para kuasawan, bahkan mengakar sehingga ke sulbi masyarakat.

PKR, sejak selesai pemilihan terus terpecah dua. Satu golongan menjulang tinggi kepimpinan Anwar manakala selebihnya bersama Rafizi Ramli yang hari ini kelihatan semakin galak melawan mantan bosnya.

Rafizi membawa bersamanya pengaruh ke atas sejumlah besar orang awam tidak berparti yang melihat ketokohannya di samping bibit-bibit kemunafikan pentadbiran kerajaan Madani.

Umno secara amnya terbelah dua antara yang pro-presiden dengan gerombolan yang entah lah apa sebab masih percaya bahawa Najib Razak itu suci daripada segala noda.

Pecahan Umno tentunya lebih rumit lagi kerana sudah menjadi kefahaman umum bahawa pengaruh politik parti ini selalunya mengikut aliran tunai. Presidennya pun tidak begitu punya ketokohan. Ketua pemudanya sendiri boleh selamba membawa gagasan perpecahan tanpa dikenakan apa-apa tindakan.

Sembari menyebut Umno, marilah kita ringkaskan bahawa Barisan Nasional itu sudah habis berantakan. Khalas.

Amanah juga tentunya punya pergelutan dalaman sendiri yang jarang dipeduli orang. Sedikit sebanyak tempias pergelutan struktur kerajaan turut memberi kesan kepada kepimpinan parti tersebut yang sudah beberapa tahun bergelut dengan soal warisan takhta Mat Sabu.

Menarik untuk dicermati, kalau anda spesis yang mengikut perkembangan politik PAS sejak azali. Tetapi anda mungkin sangat minoriti.

DAP pula hari ini tidak lagi mampu menutupi pertelingkahan pucuk pimpinannya yang boleh tahan serabut. Ia juga kini terbelah dua, meski langkah-langkah perdamaian rancak diusahakan.

Mujur di tengah-tengah pertelagahan itu ada Anthony Loke yang masih berjaya mengikat kesepaduan fikrah dan amal, agar parti itu tidak berantakan. Khabar pertembungan DAP juga kurang diambil peduli orang, mungkin kerana perlu menggunakan Google Translate atau paling tidak harus buka sarikata.

Paling serabut sebenarnya adalah huru-hara di halaman rumah Perikatan Nasional. Dan ini yang sedap dilayan bersama sebakul bertih jagung.

Anwar paling untung

Sejak politik Perlis bergolak, krisis dan pertembungan dalaman PAS kembali menjadi tajuk perbualan ramai pakcik-pakcik group whatsapp surau. Bermacam kisah timbul, sama banyak dengan yang tenggelam. Lalu watak Dr Samsuri dan Sanusi dijadikan wayang golek buat modal berlaga sesama penyokong, sambil institusi presiden di Rusila menjadi pentasnya.

Entah punat apa ditekan Haji Hadi sehingga kerajaan negeri Perlis hilang dari kendali PAS, dan diambil alih rakan sendiri. Perikatan Nasional pun bergolak, manakala dua watak wayang golek tadi pun bersilat.

PAS pun terbelah, bukan takat sepanjang garis tarbiyah dan siyasah seperti kebiasaannya; bahkan sudah menjadi perang proksi yang menarik untuk ditonton.

Bersatu pula jauh lebih serabut meski penuh gelak ketawa.

Di satu sudut, ada itik patah kaki bernama Muhyiddin Yassin; manakala di satu sudut lain ada Hamzah Zainudin. Di tepi pentas pula ada Azmin Ali meniup serunai dan memukul gendang. Seakan permainan tomoi yang sangat kelakar. Entah siapa tuan punya stadium dan gelanggang. Untunglah dia.

Di tengah-tengah senario ini, masyarakat pula berdepan pelbagai isu yang bukan setakat permasalahan ekonomi bahkan sudah beberapa kali menyaksikan percik-percik api yang boleh sahaja menyambar dan marak membakar.

Berdepan itu, yang paling beruntung tentunya Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar sedang mengemudi sebuah kerajaan perpaduan yang tidak mampu ditinggalkan Umno tidak kiralah betapa terdesaknya parti itu.

Sebagai presiden PKR, Anwar juga mengetuai gabungan yang tidak sama sekali akan meninggalkan beliau biar apa pun yang terjadi. Apatah lagi dengan penyusunan pucuk pimpinan parti komponen serta partinya sendiri yang seakan tidak mempunyai pengganti. Lihat sahaja nasib Rafizi.

Beberapa hari lalu ekonomi negara dilapor mencatat prestasi luar biasa apabila KDNK berkembang 5.2 peratus, mengatasi unjuran kerajaan antara 4.0 ke 4.8 peratus.

Suku keempat tahun lalu menyaksikan lonjakan 6.3 peratus angka tertinggi dalam tempoh tiga tahun lalu. Kadar tukaran Ringgit berbanding Dolar juga semakin mengukuh setiap hari.

Tiada rungutan daripada orang ramai tentang kenaikan harga barang sepanjang kesibukan membeli belah menuju Tahun Baru Cina dan Awal Ramadan, sebagaimana selalu. Harga barang mungkin sahaja meningkat, tetapi tidak kedengaran sebarang bunyi. Subsidi petrol bersasar tidak lagi menjadi bualan. Bantuan tunai yang dahulunya dibilang dedak sudah pun kini menjadi kebiasaan.

Maka di tengah keadaan perpecahan pembangkang, berdepan prestasi pentadbiran kerajaan yang nampaknya berjaya menutup segala kelompangannya; Anwar mungkin sahaja boleh berkira-kira untuk membubarkan Parlimen dan mengumumkan Pilihan Raya Umum ke-16 sebaik sahaja selesai beliau berpuasa enam hari di bulan Syawal.

Tentu sahaja kerajaan yang terbit daripada PRU16 itu nanti akan dipimpin Anwar, dan tentunya ia sebuah kerajaan campuran juga, yang bahkan boleh sahaja dianggotai PAS dan MCA kalau mereka mahu. Sementelahan DAP pun tidak begitu popular sangat, meski ia kuat bekerja. Lihat sahaja keputusannya di Sabah.

Daripada terus dibiar membuang waktu dan pembangkang kembali menyusun gerakannya. Daripada dibiar Melaka dan Johor masing-masing melingkup kemudian daripada itu. Baiklah semuanya disekalikan sahaja, sementara masih panas berasap baru keluar dapur.

Kalau saya jadi Anwar, itulah yang akan saya buat. Paling awal bulan Jun mungkin. Tapi saya bukan Anwar. Ikut dialah kan. Apa lah yang saya tahu.


IZMIL AMRI ialah penulis dan pemerhati politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS