Kemelut dalaman sekutu PN, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) semakin memuncak apabila pengasasnya Santharasekaran Subramaniam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Mohd Zulfikar Ahmad.
Laporan bertarikh 10 Feb itu menurut Santharasekaran dibuat susulan dakwaan berlaku salah guna kuasa, keputusan arbitrari serta syak wasangka pertukaran suapan berhubung pengeluaran beberapa surat rasmi ROS yang didakwa bercanggah dalam tempoh singkat.
Dia juga mendakwa tindakan tersebut memberi kelebihan kepada pihak lawan dalam prosiding yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Peguamnya Selvam Shanmugam ketika dihubungi memaklumkan laporan berkenaan telah dibuat.

"Ya, saya mengesahkan laporan telah dibuat kepada SPRM untuk menyiasat integriti proses pembuatan keputusan di ROS.
"Anak guam kami melihat wujudnya ketidak konsisten yang nyata yang menjejaskan hak anak guamnya," katanya.
Dokumen aduan yang dilihat Malaysiakini menunjukkan ROS sebelum ini mengeluarkan surat bertarikh 5 Disember 2025 yang mengesahkan beberapa pelanggaran serius perlembagaan parti oleh kepimpinan MIPP sekarang.
Antara pelanggaran yang didakwa pegawai ROS termasuk kegagalan menggunakan akaun bank rasmi parti, penglibatan individu bukan ahli dalam aktiviti parti serta pengecualian yuran keahlian secara tidak sah.

Namun, Santharasekaran berkata situasi berubah secara mendadak apabila Mohd Zulfikar mengeluarkan surat bertarikh 19 dan 23 Januari 2026 yang didakwa menafikan dapatan awal tersebut.
"Perubahan pendirian yang mendadak dalam tempoh sebulan tanpa sebarang siasatan susulan atau justifikasi bertulis menimbulkan persoalan besar.
"Jika surat ROS pada 5 Disember sudah menyatakan ada salah laku, bagaimana pada 23 Januari semuanya tiba-tiba menjadi 'teratur'? Ini adalah penghinaan kepada kedaulatan undang-undang.
"Adakah terdapat pengaruh luaran atau pertukaran suapan bagi menyelamatkan pihak tertentu dalam kes mahkamah," soalnya.

Pertikaian dalaman salah satu parti komponen PN itu bermula apabila Santharasekaran bersama dua pemimpin lain memfailkan tindakan sivil pada 1 Disember 2025 bagi mencabar keabsahan jawatan Presiden MIPP P Punithan (gambar, atas).
Santarasekaran yang juga bekas presiden MIPP itu sebelum ini pernah membuat laporan kepada ROS dengan mendakwa Punithan bukan ahli berdaftar parti, selain mempersoalkan keabsahan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan pada 5 Okt.
"AGM telah dijalankan atas dasar kepentingan peribadi Punithan selaku presiden dan S Subramaniam selaku timbalan presiden.
"Tiada sebarang perbincangan awal bersama Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CWC) dan segala keputusan adalah autokratik, melanggar visi dan misi MIPP serta bertentangan dengan prosedur kerja penganjuran mesyuarat dan perlembagaan asas parti," katanya sebelum ini.
Pada 16 Feb 2026, Santharasekaran memfailkan saman baru mencabar kepimpinan semasa dengan menamakan ROS sebagai defendan pertama dan Mohd Zulfikar sebagai defendan kedua.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Punithan serta Setiausaha Agung MIPP Sathes Kumar Nilameham.
Dalam tuntutan itu, plaintif memohon deklarasi mahkamah bahawa kedua-dua individu berkenaan bukan ahli sah parti dan AGM 2024 serta 2025 adalah tidak sah serta tidak mempunyai kesan undang-undang.
"Kerana surat pengarah ROS bertarikh 19 Jan dan 23 Jan yang jelas bercanggah dengan pendapatan siasatan awal agensi itu, kami terpaksa menarik balik saman sivil pertama dan membuat saman baru dengan memasukkan nama ROS dan Zulfikar sebagai defendan.
"Sehubungan itu, plaintif menuntut agar semua pelantikan, keputusan, dan tindakan yang dibuat oleh Punithan serta Sathes Kumar atas nama parti diisytiharkan sebagai terbatal.
"Satu deklarasi dipohon bahawa surat Defendan Kedua (ROS) bertarikh 19 Januari dan 23 Januari 2026 adalah tidak sah," katanya.
Selain mencabar kepimpinan sedia ada, Santharasekaran turut memohon perintah mahkamah untuk memulihkan kedudukannya sebagai presiden MIPP.
MIPP merupakan parti komponen terbaru dalam PN yang diterima masuk tahun lalu sebagai usaha menarik sokongan pengundi India.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat ketua pengarah ROS, Punithan dan Sathes mengenai perkara ini dan masih menunggu maklum balas lanjut.
