Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sahruddin petik perintah Tuhan mentaati ketua ulas kemelut Bersatu
Diterbitkan:  Feb 20, 2026 11:57 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Pengerusi Bersatu Johor, Dr Sahruddin Jamal, hari ini memetik salah satu ayat al-Quran yang sering dibaca semasa khutbah Jumaat bagi menjelaskan apa yang sedang berlaku kepada parti itu.

Kata Sahruddin berbeza pandangan adalah sesuatu yang lumrah pada zaman ini, apa lagi jika ia melibatkan sebuah organisasi yang besar.

Pada masa sama, kata bekas Menteri Besar Johor itu lagi, dia juga percaya setiap ahli memiliki buah fikiran yang matang dan mereka ada hak untuk bersuara.

Pun begitu, kata Sahruddin, hak serta kebebasan tersebut tidak sepatutnya membawa kepada perpecahan, perbalahan atau melemahkan parti kerana ia datang bersama tanggungjawab.

“Setiap pandangan harus disalurkan melalui mekanisme parti dengan tertib dan beradab, serta disertai sikap menghormati keputusan kolektif.

“Setelah sesuatu keputusan dibuat, melaksanakannya secara sepakat bukan sahaja tanggungjawab moral, tetapi juga penting bagi kredibiliti dan keyakinan rakyat terhadap parti.

“Sepakat dalam tindakan adalah kunci untuk mengukuhkan Bersatu dan memperlihatkan kematangan kita sebagai sebuah gerakan politik yang berprinsip,” katanya melalui kenyataan di media sosial.

Ia dibuat Sahruddin ketika krisis melibatkan Bersatu masih berterusan dengan antara yang terbaru melibatkan ketua wanita parti itu merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, meletakkan jawatan sebagai ketua bahagian.

Turut mengambil tindakan sama ialah ahli Jawatankuasa Bersatu Masjid Tanah.

Bukan untuk bisukan suara

Untuk rekod Mas Ermieyati adalah seorang daripada 18 ahli parlimen Bersatu yang didakwa memberikan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, yang dipecat parti berkenaan pada 13 Feb lalu.

Menurut Sahruddin, dia menyeru semua ahli Bersatu Johor untuk menginsafi bahawa perjuangan mereka adalah lebih besar berbanding kepentingan mana-mana individu.

Perjuangan tersebut, katanya, juga merupakan amanah untuk membela rakyat dan memastikan masa depan negeri serta negara berada di landasan yang betul.

“Setiap Jumaat, mimbar akan mengingatkan kita dengan ayat ke-59, surah an-Nisaa' yang bermaksud: ‘Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih faham) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.’

“Ayat ini bukanlah ayat untuk membisukan rakyat, dan bukan juga lesen untuk memberontak tanpa asas. Ia adalah ayat tentang disiplin, keadilan, dan tanggungjawab bersama,” katanya lagi.

Tambah Sahruddin, jika ahli Bersatu benar-benar berpegang pada nilai perjuangan, maka disiplin, mentaati pemimpin dan kesatuan bertindak mesti menjadi budaya bersama.

“Dengan semangat inilah kita akan terus memperkukuh Bersatu dan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.

“Mendung pasti akan berlalu dan mentari akan menyinar kembali,” katanya.

Adun Bukit Kepong itu kemudian mengakhiri kenyataannya dengan memetik ayat ke-152 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS