Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mas Ermieyati letak jawatan ketua Bersatu Masjid Tanah
Diterbitkan:  Feb 19, 2026 6:56 PM
Dikemaskini: 12:13 PM

Mas Ermieyati Samsudin merupakan pemimpin terbaru dalam Bersatu yang melepaskan jawatannya, apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua Bersatu Masjid Tanah.

Turut meletakkan jawatan adalah barisan ahli jawatankuasa Bersatu Masjid Tanah.

Bekas setiausaha Bersatu Masjid Tanah, Shahrul Azhar Amir berkata keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri ahli jawatankuasa, ketua sayap serta ketua cawangan di bawah bahagian tersebut.

"Sesi mesyuarat khas ini merakamkan secara sebulat suara tentang pendirian Bersatu Masjid Tanah yang tindakan ini dilakukan kerana kehilangan kepercayaan kami kepada Muhyiddin Yassin sebagai presiden.

"Dengan peletakan jawatan kami ini, maka dimaklumkan bahawasanya Jawatankuasa Bersatu Masjid Tanah adalah dengan ini terbubar secara rasmi," katanya dalam hantaran Facebook sebentar tadi.

Ketika dihubungi, Mas Ermieyati mengesahkan peletakan jawatannya.

Shahrul Azhar berkata lagi, selain barisan kepimpinan utama dan sayap bahagian, turut meletakkan jawatan adalah 11 ahli jawatankuasa bahagian, setiausaha sayap serta 10 ketua cawangan.

Mas Ermieyati juga merupakan ketua Srikandi Bersatu.

Kemelut dalaman Bersatu mencapai kemuncak dengan pemecatan Hamzah selaku timbalan presiden dan 16 lagi pemimpin parti.

Susulan itu, barisan kepimpinan melibatkan sejumlah bahagian Bersatu mengumumkan peletakan jawatan mereka, dan seterusnya pembubaran bahagian.

Terdahulu, sebelas ketua bahagian Bersatu di Johor mengumumkan peletakan jawatan mereka, melibatkan Pontian, Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Johor Bahru, Pengerang, Labis, Tanjung Piai, Seri Gading, Ledang dan Pulai.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu Mohamed Azmin Ali sebelum ini menjelaskan perlembagaan parti itu tidak memberi kuasa kepada mana-mana ahli parti, termasuk ketua bahagian, untuk membubarkan bahagian. 



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS