Kumpulan masyarakat sivil terus memberi tekanan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memulakan siasatan bebas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka mengingatkan siasatan dalaman oleh kerajaan yang terbatas boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi antirasuah.
Sejumlah 48 organisasi dan enam individu yang menandatangani kenyataan itu berkata, siasatan itu harus merangkumi dakwaan salah guna kuasa, kekayaan luar biasa, serta dakwaan pemerasan yang dikaitkan dengan SPRM.
Menurut mereka, siasatan mesti bebas dan telus, melibatkan pihak berkepentingan daripada pelbagai segmen masyarakat, dan laporan hasil siasatan perlu didedahkan kepada umum.
Mereka turut mengkritik keputusan kabinet pada 13 Februari lalu, yang mengehadkan siasatan kepada sebuah jawatankuasa ad hoc dan hanya bertumpu kepada isu pemilikan saham Azam dalam syarikat tersenarai awam.
“Keputusan menunjukkan pertimbangan yang amat lemah dan tidak mengendahkan keseriusan dakwaan terbabit,” kata mereka, yang turut merangkumi Bersih, G25 Malaysia, Mandiri dan SIS Forum dan Pertubuhan Ikram Malaysia.
Jawatankuasa itu diketuai Peguam Negara Dusuki Mokhtar dan dianggotai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.

Azam sebelum ini berkata dia sendiri yang meminta siasatan dijalankan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada jawatankuasa tersebut.
Bagaimanapun, kumpulan masyarakat sivil itu hari ini sekali lagi membangkitkan kebimbangan mengenai peranan Dusuki, memandangkan penglibatannya sebelum ini dalam penarikan pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut mereka, siasatan itu berisiko berakhir dengan keputusan “tiada tindakan lanjut”.
Mereka turut menggariskan empat langkah segera, bermula dengan pembentukan panel bebas baru yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat atau tokoh lain yang dihormati.
Kedua, mereka menggesa Azam untuk bercuti sementara siasatan bebas dijalankan.
Ketiga, mereka mencadangkan pelan hala tuju reformasi SPRM yang dirangka sebuah jawatankuasa pilihan Dewan Rakyat dan harus diselesaikan sebelum tahun depan.
Ia termasuklah mekanisme penyeliaan Parlimen bagi melantik ketua pesuruhjaya SPRM serta langkah-langkah bagi memastikan pertanggungjawaban suruhanjaya itu kepada Parlimen, kata mereka.
Keempat, mereka menuntut komitmen tegas kerajaan untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, dengan pelantikan tertakluk kepada penelitian Parlimen serta jaminan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Nyatakan pendirian
Sementara itu, mereka juga berkata parti-parti dalam kerajaan perlu menjelaskan pendirian mereka terhadap reformasi institusi dan juga berhubung skop siasatan yang terbatas terhadap Azam.
“Sebagai langkah kebertanggungjawaban awam, setiap gabungan dan parti dalam kerajaan Madani perlu membuat pendirian jelas kepada reformasi ini atau memberikan justifikasi mengapa mereka bersetuju kepada skop siasatan yang sempit terhadap Azam di bawah jawatankuasa yang diketuai Peguam Negara.
“Parti-parti di dalam kerajaan Madani, terutamanya PH, bukan sahaja sedar akan kelemahan dalam reka bentuk institusi SPRM, bahkan mereka pernah berjanji untuk mereformasi SPRM bagi memperbetulkan kelemahan tersebut,” kata mereka lagi.
