Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azam: Saya tak sembunyikan apa-apa, sedia disiasat
Diterbitkan:  Feb 13, 2026 9:45 AM
Dikemaskini: 2:30 AM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata dia sedia untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan berhubung pemilikan sahamnya.

“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan,” tegasnya dala kenyataan, hari ini.

Azam berkata semua pengisytiharan kewangan dan asetnya dibuat mengikut peraturan perkhidmatan awam yang terpakai dan melalui saluran rasmi seperti yang ditetapkan untuk setiap penjawat awam.

“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang. 

“Pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya lagi.

Sedia untuk disiasat

Azam berkata sebagai penjawat awam dan ketua agensi penguatkuasaan, dia percaya mana-mana individu yang berdepan dakwaan harus terbuka dan bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus.

“Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” katanya.

Menegaskan bahawa tiada siapa yang melangkaui undang-undang, Azam pada masa sama mengingatkan tiada siapa wajar dihakimi hanya berdasarkan persepsi atau naratif media.

“Sepanjang perkhidmatan saya, saya kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang. Saya akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana mekanisme yang sah dan ditubuhkan secara wajar bagi meneliti perkara ini.

“Saya yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas,” katanya lagi.

Gesaan gantung tugas, letak jawatan

Susulan pendedahan oleh Bloomberg dan Malaysiakini mengenai pegangan saham Azam, timbul desakan meluas agar Ketua Pesuruhjaya SPRM itu disiasat, digantung tugas atau meletak jawatan.

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Azam pada satu sama memiliki pegangan saham besar dalam dua syarikat tersenarai awam.

Dia memiliki 17.7 juta unit saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan sekitar 4.52 juta unit saham dalam Awanbiru Technology Berhad.

Dia berkata telah mengisytiharkan semua pegangan sahamnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan telah melupuskan portfolionya menjelang Julai tahun lalu, walaupun tidak menyebut tarikhnya secara khusus.

Antara 1 Jun hingga 31 Julai tahun lalu, saham Velocity Capital Partner didagangkan serendah RM0.06 sesaham hingga RM0.075 sesaham.

Jika Azam melupuskan sahamnya dalam tempoh tersebut, nilai saham itu boleh berada antara RM1.06 juta hingga RM1.327 juta.

Bagi Awanbiru Technology, harga sahamnya dalam tempoh 1 Jun hingga 31 Julai 2025 berada antara RM0.275 hingga RM0.305 sesaham.

Jika Azam melupuskan sahamnya dalam tempoh tersebut, nilai saham itu boleh berada antara RM1.24 juta hingga RM1.378 juta.

Potensi nilai pegangan saham Azam menimbulkan persoalan jika dia melanggar peraturan perkhidmatan awam yang mengehadkan pembelian saham kepada tidak lebih lima peratus modal berbayar atau RM100,000 pada nilai semasa.

Surat tuntutan

Azam turut mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg berhubung apa yang didakwanya sebagai laporan berunsur fitnah yang mendakwanya memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Peguamnya, firma Zain Megat & Murad, turut menuntut ganti rugi RM100 juta atas dakwaan kerosakan terhadap reputasi dan kedudukan profesional Azam.

Bloomberg turut menerbitkan satu lagi laporan yang mendakwa kepimpinan SPRM bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam untuk menyingkirkan pesaing korporat dan mengatur pengambilalihan syarikat.

SPRM mendakwa tuduhan tersebut dibuat dengan niat jahat untuk mencemarkan reputasi suruhanjaya itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS