Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa supaya proses sewajarnya dihormati dalam siasatan rasuah yang sedang dijalankan terhadap bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli serta meminta orang ramai tidak membuat tuduhan terburu-buru.
Anwar berkata sebarang dakwaan salah laku mesti ditangani secara konsisten dan adil tanpa mengira individu yang terlibat.
"Sesiapapun kalau ada dakwaan siasat dengan telus dan terbuka.
"Sebelum selesai siasatan dan pendakwaan jangan kita hukum. Jadi sekarang ini kita dengar, bagi ruang untuk siasat. Jangan ada tuduh menuduh dalam bulan Ramadan Karim ini.

"Jadi kita buat sebaiknya, kalau ada tuduhan kita siasat dengan baik. Kalau ada bukti bersalah, dakwa.
"Tetapi jangan kita hebahkan, dalam erti kata menghukum sebelum (keputusan mahkamah),” kata Anwar kepada pemberita di Masjid Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat hari ini.
Anwar menegaskan dia mengalu-alukan penelitian termasuk terhadap kerajaan dan pihak lain namun hanya jika ia disokong bukti dan bukan sekadar tuduhan.
"Ini masalah dalam negara kita, dengar saja orang tuduh terus melompat, kecam. Belum tahu, nanti jadi fitnah...

"Sebab itu saya terima baik apa-apa dakwaan. sama ada kepada kerajaan atau kepada sesiapa saja.
"Kalau ada dakwaan, ada bukti kita siasat dengan telus. Barulah negara ini agak teratur.
“Tapi dalam bulan Ramadan, kita patut fokus dalam soal ibadah, bermaafan, silaturahim. Itulah yang patut kita buat,” katanya lagi.
Kenyataan Anwar dibuat ketika timbul kontroversi berhubung siasatan SPRM berkaitan tempoh Rafizi sebagai menteri ekonomi.

Ketika ini, bekas timbalan presiden PKR itu disiasat dalam dua kes berasingan. Kes pertama melibatkan perjanjian kerajaan dengan syarikat semikonduktor Britain Arm Holdings, dengan dia didakwa mempercepatkan kelulusan perjanjian yang kononnya menyebabkan kerugian RM1.1 bilion.
Kes kedua pula berkaitan projek tenaga solar berskala besar oleh UEM Lestra, di mana dia didakwa mengarahkan kontrak bernilai RM2.5 bilion kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengannya.
Rafizi menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai dibesar-besarkan serta bermotif politik.
Katanya masa siasatan SPRM terhadapnya merupakan bentuk intimidasi susulan gesaannya supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki direhatkan sementara berhubung dakwaan yang dilaporkan Bloomberg.

Ahli parlimen Pandan itu turut mengkritik apa yang disifatkannya sebagai kempen memburukkan imej oleh pempengaruh tempatan dan penyanyi rap Ariz Ramli, lebih dikenali sebagai Caprice, serta memberi bayangan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan berunsur fitnah.
“Tidak seperti kes yang lain, SPRM tidak menunjukkan bukti. Tidak ada rampasan ratusan juta atau jongkong emas. Tidak ada bukti ratusan juta dalam akaun saya.
"Malah, satu bukti pun tidak ada tetapi beriya-iya dijaja jadi bahan berita.
"Ini masalahnya apabila ada pihak yang terdesak menggunakan fitnah," kata Rafizi pada satu hantaran Facebook semalam.
