Pihak berkuasa digesa melakukan siasatan lanjut termasuk bedah siasat kedua terhadap seorang anggota tentera yang meninggal dunia selepas dilaporkan tidak sedarkan diri di sebuah kem di Kuantan pada Rabu lalu.
Pengerusi MIC Pulau Pinang, J Dhinagaran (gambar bawah) menegaskan langkah itu penting bagi memastikan punca sebenar kematian Truper K Indiran, 22, susulan dakwaan serta syak wasangka keluarga mengenai kemungkinan wujud unsur buli.
"Walaupun laporan awal bedah siasat menyatakan tiada kecederaan luaran dikesan, ia tidak boleh dijadikan kesimpulan mutlak bahawa tiada unsur buli.
"Kemungkinan besar wujud kecederaan dalaman yang memerlukan siasatan lanjut. Saya menggesa bedah siasat kedua dijalankan demi keadilan keluarga mendiang," katanya pada satu kenyataan media.

Terdahulu, Ketua Polis Pahang Yahaya Othman mengesahkan kematian anggota berkenaan dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Menurutnya, pemeriksaan forensik di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) tidak menemukan kecederaan fizikal pada tubuh mangsa.
"Bedah siasat telah selesai dan tiada apa-apa kecederaan fizikal dialami anggota itu. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Ketika ini, ahli keluarga berada di Jabatan Perubatan Forensik HTAA bagi menguruskan proses membawa pulang jasad mendiang ke Pulau Pinang untuk pengebumian.

Sebelum ini, tersebar dakwaan di media sosial mengaitkan kematian anggota tersebut dengan kemungkinan perbuatan buli turut mencetuskan perhatian awam.
Bapa tiri mendiang, L Mathivanan berkata pihak keluarga terkejut dengan berita kematian itu memandangkan kali terakhir berhubung melalui panggilan video, Indiran kelihatan sihat dan ceria.
"Dia merupakan anak yang bertanggungjawab dan banyak membantu adik-adiknya yang masih belajar. Kami sedang merancang untuk mengadakan perhimpunan keluarga bulan depan," katanya.
Indiran merupakan antara 1,144 perajurit muda yang menamatkan latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada September lalu sebelum mengikuti Kursus Krew Armor Kelas 1 di Kem Batu 10, Kuantan.

Mendiang juga anak kepada Mejar C Kayamboo, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft B200T di Butterworth pada 2016.
Dhinagaran menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi menyedihkan apabila bapa dan anak meninggal dunia ketika berkhidmat untuk negara.
"Difahamkan mangsa dimasukkan ke wad tanpa pemberitahuan awal kepada keluarga. Ibu mendiang juga telah membuat laporan polis kerana mengesyaki sesuatu yang tidak kena.
"Sehubungan itu saya berharap pihak PDRM dan TUDM tidak mengambil ringan perkara ini dan tidak membiarkan kes ini berakhir seperti kes Allahyarham adik Zara Qairina yang berlaku di Sabah.
"Saya berharap semua pihak kerajaan yang terlibat dapat memberikan kerjasama penuh dan telus demi keadilan untuk keluarga mendiang," katanya.
