mk-logo
Berita
Izzah: Jangan 'tembak' Bloomberg, perluas skop Jk siasat Azam
Diterbitkan:  Feb 20, 2026 9:42 PM
Dikemaskini: 1:44 PM

Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menggesa pihak berkuasa memastikan siasatan terhadap laporan Bloomberg yang mengaitkan Pengerusi SPRM Azam Baki dengan memberi tumpuan kepada dakwaan terhadapnya, bukannya kepada penerbitan laporan tersebut.

Nurul Izzah turut merujuk rencana pendapatnya, terbit di The Star yang menyoal "siapa yang mengawasi pengawas (SPRM)" — merujuk keperluan pengawasan bebas terhadap badan pencegahan rasuah.

“Saya juga minta supaya siasatan oleh PDRM seperti diumum fokus kepada dakwaan yang dibangkitkan oleh Bloomberg bukan siasat penerbitan laporan tersebut.

"Maksudnya mudah, kalau ada dakwaan siasat dakwaan bukan tumpu kepada proses penerbitannya.

"Kita nak dan rakyat nak intipati dakwaan yang disiasat bukan hanya siasat bagaimana laporan diterbitkan bak kata orang putih you don't want to shoot the messenger,” tegasnya.

Pada 14 Feb, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar mengesahkan siasatan terhadap Bloomberg berhubung laporan bertarikh 10 Feb mengenai pemilikan saham Azam.

Kumar berkata artikel Bloomberg bertajuk Malaysian Anti-Graft Chief Returns to Stocks After Outcry mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.

Bloomberg dilaporkan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan kesalahan penerbitan berita palsu.

Sementara itu, Nurul Izzah turut mengalu-alukan keputusan kerajaan menubuhkan jawatankuasa diketuai Peguam Negara Dusuki Mokhtar bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam namun mengingatkan langkah itu tidak mencukupi sekiranya skopnya terlalu terhad.

Dia menegaskan sebarang siasatan perlu dijalankan secara serius dan menyeluruh, sambil menyatakan mekanisme pengawasan sedia ada terhadap SPRM tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan.

"Cadangan balas kita tubuh jawatan kuasa yang ada dengan kuasa pengarahan dan pengawasan sebenar. Lapor kepada parlimen itu ibarat lapor kepada rakyat.

"Dan pemimpin kepada siasatan khas ini oleh mana-mana jawatan kuasa haruslah dipengerusikan oleh individu yang diyakini bebas dan berintegriti.

"Kena libatkan juga wakil pelbagai agensi supaya siasatan lebih telus, tak ada persepsi dan tak timbul persepsi berat sebelah,” katanya.

Azam, yang berikrar memberi kerjasama dalam siasatan berterusan, berdepan kontroversi pemilikan saham serta dakwaan pegawai SPRM bersekongkol dengan individu swasta untuk menekan pesaing perniagaan dan membantu pengambilalihan korporat.

Pengkritik terhadap jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan dan peranan Dusuki pula mencadangkan bekas ketua hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat sebagai tokoh yang lebih sesuai mengetuai panel bebas bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam.

Selain itu, Nurul Izzah menegaskan institusi penguat kuasa seperti SPRM perlu berfungsi sebagai benteng pertahanan kepada rakyat.

"Malaysia telah capai banyak kemajuan dalam mengukurkan ekonomi menarik pelabur, Alhamdulillah.

"Inilah saat penting untuk kita memperkukuh lagi langkah-langkah takdir urus yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang diakini bukan sahaja oleh pelabur tapi oleh rakyatnya,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan Azam daripada gesaan pemecatan dan penahanan, serta menegaskan tiada tindakan hukuman akan diambil selagi siasatan menyeluruh belum diselesaikan.


@n_izzah_anwar Dalam mana-mana sistem yang matang, kuasa mesti datang bersama pertanggungjawaban, serta peranan semak dan imbang. Pemantauan bebas bukan melemahkan SPRM. Sebaliknya, ia mengukuhkan kredibiliti dan keyakinan rakyat terhadap institusi. #fyp #foryou #foryoupage #malaysia ♬ original sound - n_izzah

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS