Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kongres khas DAP beri isyarat masa makin suntuk buat Anwar - penganalisis
1

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat tidak mempunyai banyak ruang dan masa untuk menangguhkan langkah melaraskan semula pentadbirannya, selepas sekutunya dalam kerajaan gabungan, DAP akan meneruskan kongres yang merupakan “referendum” mengenai peranan parti itu dalam kerajaan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, mengesahkan bahawa parti itu akan mengadakan kongres khas pada 12 Julai bagi perwakilannya menentukan sama ada pemimpin DAP dalam kerajaan harus meletakkan jawatan, meski terus menyokong Anwar.

Peristiwa itu tidak mengejutkan kerana pada Disember tahun lepas, Loke telah mengisytiharkan bahawa jika Anwar gagal melaksanakan pembaharuan yang bermakna dalam tempoh enam bulan, DAP - yang memegang bilangan kerusi persekutuan terbesar dalam kerajaan - akan terpaksa menilai semula peranannya dalam pentadbiran semasa.

Walau bagaimanapun, Loke secara konsisten menegaskan bahawa walaupun ahli parti mengundi untuk pemimpin mereka menarik diri daripada peranan eksekutif, 40 ahli parlimen parti itu akan terus menyokong kerajaan Anwar sehingga pilihan raya akan datang.

Syaza Shukri

Profesor Madya Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri, mengingatkan bahawa langkah DAP untuk berpegang pada tarikh akhir enam bulan untuk pembaharuan menonjolkan rasa tidak puas hati parti itu terhadap kadar yang dirasakan perlahan dalam melaksanakan pembaharuan.

Jelasnya, keresahan sedemikian di kalangan rakan kongsi kerajaan perpaduan menguatkan lagi desakan agar Anwar segera "mengubah haluan" dan tidak menangguhkan tindakan sehingga saat-saat akhir yang berisiko menjejaskan kempennya untuk pilihan raya umum akan datang.

“...ia adalah isyarat besar bahawa Anwar perlu mengubah haluan sekarang. (Dia) tidak mampu menunggu sehingga Julai,” kata Syaza kepada Malaysiakini.

Oh Ei Sun, seorang felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berpandangan bahawa langkah kerajaan yang dilihat perlahan dalam menangani perkara-perkara penting yang berkaitan dengan kebajikan awam telah mencetuskan kekecewaan bukan sahaja dalam DAP, tetapi juga dalam kalangan pengundi yang lebih luas.

Tegas Oh, DAP terutamanya bimbang bahawa isu-isu lama yang menjejaskan komuniti bukan Melayu, seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang kontroversi, tidak ditangani dengan cepat dan komprehensif oleh kerajaan.

“Sebaliknya, kritikan terhadap Anwar terutamanya berkaitan dengan kadar dan kualiti pembaharuan keseluruhan yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan, yang dikritik ramai sebagai tidak mencukupi dan lebih buruk lagi apabila disifatkan semakin ke belakang,” katanya.

Oh Ei Sun

Oh merujuk kepada “kegagalan” baru-baru ini yang melibatkan SPRM, yang menyaksikan ketua pesuruhjaya agensi antirasuah itu, Azam Baki, mengundang dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebagai contoh yang menyumbang kepada defisit kepercayaan awam terhadap Anwar.

Berkongsi sentimen yang sama, profesor madya Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb berpendapat bahawa kekurangan pembaharuan oleh kerajaan dan pengendalian isu berkaitan etnik agama yang lemah telah menggusarkan ramai ahli dan penyokong DAP.

Walaupun langkah parti itu untuk menonjolkan imej 'bebas' sambil masih menyokong kerajaan seakan berhasil, penganalisis politik itu menyatakan bahawa masih belum dapat dilihat sama ada pendirian sedemikian akan berkesan dalam "menenangkan" ahli yang tidak berpuas hati.

Azmil Tayeb

“Saya akan terkejut jika ahli (DAP) mengundi (untuk pemimpin parti yang memegang jawatan kerajaan) untuk meninggalkan semua jawatan eksekutif. Kehilangan akses kepada sumber kerajaan akan menjadi tamparan hebat kepada parti.

“Mungkin kongres khas itu merupakan langkah simbolik untuk menyedarkan (Anwar) bahawa penyokong DAP tidak seharusnya dipandang remeh lagi,” kata Azmil ketika dihubungi.

Dia juga menyatakan bahawa langkah DAP untuk terus berpegang kepada tarikh akhir yang ia tetapkan mungkin disebabkan oleh pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang, yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.

“...DAP tidak mahu mengulangi prestasi buruknya di Sabah - mungkin itu menjelaskan tarikh Julai (yang akan) memberinya lebih banyak masa untuk berkempen mengenai perubahan,” tambahnya.

Loke mula-mula bercakap tentang tempoh enam bulan untuk menilai semula peranan DAP berikutan kekalahan teruk partinya dalam pilihan raya negeri Sabah pada 29 November, yang menyaksikan kesemua lapan calon parti itu tewas.

Semasa pilihan raya negeri itu, DAP telah menyelaraskan dirinya dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang pemimpinnya sebelum ini terlibat dalam skandal rasuah berkaitan lesen cari gali mineral.

Sebagai tindak balas kepada prestasi DAP yang suram, yang turut menyaksikan ia kehilangan enam kawasan pilihan raya yang dimenanginya sebelum ini dengan majoriti besar dalam pilihan raya 2020, jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu telah mengambil langkah segera dengan mengadakan mesyuarat tergempar.

CEC kemudiannya berikrar untuk mempercepatkan pembaharuan bagi mendapatkan semula keyakinan orang ramai selepas pengkritik menuduh parti itu yang lantang ketika menjadi pembangkang kehilangan taring setelah mendapat kuasa persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS