mk-logo
Berita
Jk siasat isu saham panggil Azam bagi keterangan
Diterbitkan:  Feb 22, 2026 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyiasat isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, telah memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung pegangan saham dalam Velocity Capital Partner Berhad.

Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar (gambar bawah) berkata jawatankuasa yang dipengerusikan Peguam Negara Dusuki Mokhtar sedang meneliti aspek pematuhan serta keteraturan pembelian 17.7 juta saham oleh Azam, yang dianggarkan bernilai sekitar RM1.5 juta.

"Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang telah diperoleh serta akan memanggil saksi-saki lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan ini.

"Jawatankuasa memberi jaminan bahawa siasatannya akan dijalankan secara menyeluruh, profesional, bebas dan telus," katanya.

Pada 13 Feb lalu, kerajaan bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan serta perkara berbangkit yang dikaitkan dengan ketua pesuruhjaya SPRM itu.

"Hasil siasatan ini serta cadangan tindakan lanjut akan dikemukakan kepada pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk bagi kes-kes di mana terdapat pelanggaran undang-undang atau peraturan," kata Shamsul Azri lagi.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dia berkata jawatankuasa khas itu akan diketuai ketua setiausaha negara.

“Setelah selesai siasatan, maka akan dimaklumkan semula kepada jemaah menteri untuk sebarang tindakan susulan.

“Ini dalam usaha untuk kita memastikan aspek ketelusan dan integriti dalam menjalankan siasatan,” kata Fahmi merangkap menteri komunikasi.

Sejak penubuhan jawatankuasa itu, kerajaan berdepan kritikan berhubung pemilihan panel tiga anggotanya, dengan beberapa ahli parlimen serta NGO menggesa bekas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai jawatankuasa bebas sebagai alternatif.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Azam turut dikaitkan dengan pemilikan 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner serta 4.52 juta saham dalam Awanbiru.

Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini, menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Azam juga memfailkan saman terhadap Bloomberg LP berhubung artikel didakwa berunsur fitnah mengenai pemilikan saham yang diterbitkan pada 10 Februari lalu.

Saman difailkan di Mahkamah Tinggi pada 20 Feb lalu melalui Tetuan Zain Megat & Murad itu menamakan Bloomberg LP dan Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd sebagai defendan, dengan Azam menuntut ganti rugi am RM100 juta selain ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS