Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) melantik Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga menteri besar Terengganiusebagai pengerusi baru gabungan itu.
Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani presiden parti-parti komponen PN, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur petang tadi.
“Mesyuarat dihadiri oleh semua ahli-ahli Majlis Tertinggi PN, termasuk empat Presiden Parti-parti Anggota iaitu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (Presiden BERSATU), Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), Datuk Dr Dominic Lau (Presiden Gerakan) dan P Punithan (Presiden MIPP).

"Agenda mesyuarat yang utama adalah untuk meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengerusi PN berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026 dan melantik Pengerusi PN yang baharu.
"Adalah dimaklumkan mesyuarat meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengerusi PN berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026.
"Mesyuarat seterusnya dengan sebulat suara melantik YAB. Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa serta merta,” maklum kenyataan Majlis Tertinggi PN itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada sidang media selepas mesyuarat PN hari ini pula memaklumkan parti itu akan mengambil alih jawatan ketua pembangkang.
Bagaimanapun, calon bagi jawatan tersebut masih belum diputuskan.
Jawatan itu kini disandang Hamzah Zainudin yang digugurkan sebagai timbalan presiden Bersatu serta dipecat daripada parti itu dua minggu lalu.
Sebelum ini, terdapat bantahan daripada parti komponen lain PN terhadap cadangan menamakan Ahmad Samsuri sebagai ketua gabungan itu, termasuk daripada kem Muhyiddin yang berpendapat jawatan pengerusi PN wajar dipegang presiden parti itu.

Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan dalam bahawa piagam PN tidak menetapkan siapa yang boleh menjadi pengerusi, sekali gus bermakna jawatan tersebut tidak terhad kepada presiden atau timbalan presiden parti.
Takiyuddin turut mendedahkan tiada calon lain bagi jawatan pengerusi PN dikemukakan semasa mesyuarat majlis tertinggi.
Mengulas jika ada perbincangan mengenai penubuhan “majlis presiden PN”, ahli parlimen Kota Bharu itu berkata badan tersebut sememangnya telah termaktub dalam perlembagaan PN namun terdapat cadangan menambah baik piagam bagi mengukuhkan gabungan menjelang pilihan raya akan datang.
Sebelum ini, surat yang bocor antara Muhyiddin dan Abdul Hadi mendedahkan presiden Bersatu itu mahu majlis presiden PN yang diketuai Bersatu menjadi badan pembuat keputusan gabungan, manakala pengerusi PN mengetuai jawatankuasa pelaksanaan.
Hadi bagaimanapun menolak cadangan tersebut.
Samsuri merupakan menteri besar dua penggal dan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Hadi.
Dia juga berkelulusan dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa.
