PKR Terengganu menggesa agar exco kerajaan negeri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digantung tugas atau dicutikan sementara waktu.
Ketua Penerangan PKR Terengganu Aiman Wan Alias berkata langkah itu perlu bagi memastikan proses siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa tersebut dapat dijalankan secara bebas tanpa sebarang pengaruh.
"Penahanan seorang exco kerajaan negeri terengganu oleh SPRM berhubung dakwaan salah guna kuasa merupakan tamparan serius terhadap kredibiliti kerajaan negeri.
"Isu ini bukan sekadar melibatkan individu, tetapi menyentuh budaya tadbir urus dan tahap akauntabiliti pentadbiran," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam, SPRM Terengganu menahan seorang anggota exco kerajaan negeri kerana disyaki menyalah guna kedudukan dengan mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2018 dan 2020.
Identiti suspek berusia lingkungan 60-an itu tidak didedahkan dan dia dijangka didakwa dalam masa terdekat.

Aiman turut mendesak Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baru, untuk menyatakan pendirian rasmi mengenai isu berkenaan.
Tuntut ketelusan pentadbiran
Menurut Aiman, kepimpinan negeri tidak seharusnya berdiam diri kerana isu tersebut telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran.
Dia menegaskan bahawa jawatan awam merupakan amanah kepada rakyat dan bukannya satu keistimewaan peribadi.
"Kerjasama penuh kepada SPRM mesti disertai komitmen terhadap ketelusan dan semakan menyeluruh terhadap projek serta keputusan berkaitan.

"PKR Terengganu akan terus memantau perkembangan kes ini dan menegaskan agar proses undang-undang berjalan secara bebas, adil dan tanpa campur tangan politik," katanya lagi.
Setakat ini, pihak kerajaan negeri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung status kedudukan Exco berkenaan di bawah pentadbiran semasa.
PAS bagaimanapun menyatakan pendirian tidak masuk campur dan terbuka terhadap sebarang siasatan SPRM.
