1

Selepas hampir dua bulan ketidaktentuan mengenai hala tuju kepimpinan Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Januari lepas, gabungan parti politik itu akhirnya mengumumkan pengerusi baharu semalam.

Pelantikan Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, bagi mengisi kekosongan tersebut selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) PN, bagaimanapun disifatkan oleh pemerhati politik sebagai tidak mengejutkan, sebaliknya sudah dijangka.

Penganalisis politik, Prof Madya Mazlan Ali berpandangan bahawa hubungan antara Bersatu dengan PAS selepas pelantikan kepimpinan baharu itu masih belum benar-benar stabil, malah berisiko berada dalam situasi “kelam” memandangkan hala tuju gabungan tersebut masih kabur.

“Saya nampak kelam, tidak nampak jalan cerah bagi hubungan antara Bersatu dengan PAS walaupun mereka duduk semeja dan menyetujui pengerusi PN yang baharu.

Ahmad Samsuri Mokhtar

“Hal ini mengejutkan apabila Muhyiddin dilantik sebagai timbalan pengerusi PN kerana kapasitinya sebagai presiden Bersatu. Tindakan ini dilihat seolah-olah beliau ‘diturunkan pangkat’.

“Muhyiddin sebelum ini merupakan pengerusi PN, bekas perdana menteri, berpengalaman, dan banyak jasanya.

“Namun, apabila orang muda (Ahmad Samsuri) menjadi bos (pengerusi), hal ini menunjukkan seolah-olah tidak ada rasa hormat kepada Muhyiddin dan saya berpandangan bahawa ahli sukar untuk menerima arahan daripadanya,” katanya.

Mesyuarat semalam memutuskan untuk menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN, namun beliau sebaliknya dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Prof Madya Mazlan Ali.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur itu berkata, walaupun pimpinan tertinggi PN menggambarkan mesyuarat berlangsung secara harmoni, episod ketegangan sebelum ini serta kedudukan Muhyiddin yang semakin lemah pastinya menyukarkan gabungan tersebut untuk kembali stabil dan mencapai muafakat politik yang kukuh.

Pergeseran PAS -Bersatu akan berterusan

Justeru, Mazlan berpandangan bahawa kemungkinan pergeseran antara PAS dengan Bersatu akan berterusan, lebih-lebih lagi hubungan PAS dengan bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin, dilihat kekal baik. Malah, PAS dikatakan lebih selesa dengan kepimpinan Hamzah.

“Hal ini terbukti apabila Hamzah berkongsi sekeping gambar bersama-sama dengan presiden PAS dan beberapa pemimpin parti itu yang tular di media sosial selepas pemecatan berkenaan, sekali gus menggambarkan hubungan yang masih erat antara kedua-dua tokoh tersebut,” katanya.

Dia berkata tidak mustahil PAS cenderung untuk memilih kerjasama dengan Hamzah yang disifatkan lebih selesa dan memiliki sokongan lebih besar sekiranya Ahli Parlimen Larut itu mengambil langkah menubuhkan parti baharu.

Katanya, ketrampilan Hamzah juga dilihat lebih kukuh kerana mendapat sokongan majoriti 18 daripada 25 Ahli Parlimen parti itu, selain 118 ketua bahagian Bersatu menzahirkan sokongan padu kepadanya.

“Jika hal itu berlaku, Bersatu berdepan dengan risiko tersisih daripada PN kerana PAS tentunya akan membuat pertimbangan berdasarkan kekuatan sokongan dan kelangsungan politik gabungan. Saya berpandangan ada kemungkinan besar Bersatu akhirnya akan keluar daripada PN dan PAS memilih kerjasama bersama-sama Hamzah,” katanya.

Parti baharu

Dia berkata tidak ada halangan untuk Hamzah menubuhkan parti baharu kerana tidak terikat dengan undang-undang lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), memandangkan beliau dipecat daripada parti.

“Lembaga Disiplin parti itu telah memutuskan bahawa Hamzah dipecat daripada hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu kerana melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti berkenaan. Dalam polemik pemecatan Hamzah, tidak ada halangan untuk dia menubuhkan parti baharu.

“Ada potensi untuk parti baharu Hamzah berdiri lebih kukuh berbanding dengan Bersatu kerana beliau akan membawa Ahli Parlimen dan mereka yang tidak sekutu dengan Muhyiddin bersama-sama di bawah parti tersebut, sekali gus bekerjasama dengan PN,” katanya.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof. Awang Azman Awang Pawi berkata bahawa pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu dilihat sebagai strategi untuk meraih sokongan bukan Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS