Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa semua ahli parlimen menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh jawatan perdana menteri yang kini dibentangkan di Dewan Rakyat.
Bersih menyifatkan pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan itu sebagai langkah penting dalam agenda reformasi institusi di bawah kerajaan Madani yang berpotensi memberi kesan positif jangka panjang terhadap sistem demokrasi negara.
"Ini termasuk penegasan oleh YAB Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) bahawa had tempoh tersebut turut terpakai kepada beliau yang kini menyandang jawatan Perdana Menteri selama lebih tiga tahun.
"Justeru, Bersih menggesa dukungan semua ahli parlimen untuk menyokong RUU ini agar ia diluluskan di parlimen nanti," kata Jawatankuasa Pemandu Bersih pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Bersih, kelulusan RUU tersebut akan menjadi mekanisme penting bagi mengelakkan pemusatan kuasa dalam tempoh panjang yang berisiko membawa kepada kecenderungan pemerintahan kuku besi.
"Bersih juga menegaskan kepentingan untuk semua anggota parlimen membahaskan RUU ini dengan baik dan berkesan," kata organisasi masyarakat sivil itu.
Selain had tempoh jawatan perdana menteri, Bersih turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan Akta Penggal Tetap Parlimen bagi mengurangkan ketidaktentuan politik serta pertukaran kerajaan di pertengahan penggal seperti yang berlaku selepas Langkah Sheraton.
Menurut gabungan itu lagi, pertukaran kerajaan yang kerap dalam tempoh singkat boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran dan melemahkan prinsip demokrasi berparlimen.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said membentangkan di Dewan Rakyat RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.
Bacaan kali kedua RUU itu dijangka dibuat pada minggu depan. Pindaan itu melibatkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan melalui fasal baru yang menetapkan seseorang Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan melebihi tempoh agregat 10 tahun, sama ada secara berterusan atau selainnya.
RUU tersebut antaranya turut memperuntukkan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri terhenti memegang jawatan selepas tempoh itu namun dibenarkan menjalankan fungsi terhad bagi memastikan kesinambungan pentadbiran sehingga pelantikan kerajaan baru.
