Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPM: Peningkatan tekal prestasi SPM bukti keberkesanan PBS

PARLIMEN | Peningkatan berterusan prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi bukti keberkesanan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Menjawab soalan Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who, berkata pencapaian kohort pelajar pasca-PT3 menunjukkan sistem pentaksiran baru mampu menyokong kecemerlangan akademik tanpa peperiksaan pusat di peringkat rendah dan menengah rendah.

“Gred Purata Nasional SPM mencatat peningkatan konsisten daripada 4.74 pada 2022 kepada 4.60 (2023) dan 4.49 (2024).

“Pada masa sama, peratus calon layak menerima sijil turut meningkat daripada 91.6 peratus pada 2022 kepada 93.5 peratus (2023) dan 94.0 peratus (2024),” katanya sewaktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Wan Azizah bertanya mengenai keberkesanan pelaksanaan PBS yang menggantikan sistem berorientasikan peperiksaan seperti UPSR atau PT3 bagi penilaian pembentukan jati diri dan masa hadapan pelajar.

Mengulas lanjut, Wong berkata PBS juga diperkasa melalui empat komponen utama iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Pusat.

“PBD dilaksanakan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi menilai perkembangan, kebolehan serta tahap penguasaan murid terhadap standard kurikulum.

“Dalam aspek pembangunan sahsiah, data sesi 2024/2025 menunjukkan penyertaan murid dalam aktiviti kokurikulum meningkat kepada 99.81 peratus berbanding 84.45 peratus pada sesi terdahulu,” katanya.

Menurut Wong, bagi memperkukuh intervensi awal, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan metriks pembelajaran untuk murid tahun empat bermula Okt ini, manakala bagi tingkatan tiga pada tahun hadapan.

Fokus kesejahteraan guru

Pentaksiran itu, katanya, bertujuan mengesan tahap penguasaan literasi, numerasi dan kemahiran saintifik pelajar bagi membolehkan intervensi dilaksanakan lebih awal, khususnya ketika mereka berada di tahun lima dan enam.

Wong turut memaklumkan persekolahan kini diwajibkan sehingga tingkatan lima sebagai sebahagian usaha menangani keciciran.

Mengulas kebimbangan berhubung beban perekodan dan keseragaman standard, KPM memaklumkan Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) digunakan bagi memastikan perekodan dibuat secara dalam talian dan berpandukan standard ditetapkan lembaga peperiksaan.

Tambahnya, kesejahteraan guru turut diberi perhatian dan KPM bersedia menerima aduan serta maklum balas bagi menambah baik pelaksanaan PBS.

“Perkara ini dimaklumkan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 3 Tahun 2023 mengenai pemberkasaan PBS bermula sesi akademik 2022/2023.

“Melalui sistem ini, perekodan data PBD, PAJSK, Pentaksiran Psikometrik serta pentaksiran lain dilaksanakan secara dalam talian menerusi satu platform bersepadu.

“Sistem tersebut membolehkan warga pendidik merujuk kepada standard yang ditetapkan dan membuat perekodan secara teratur serta selaras di seluruh negara,” katanya.

Berhubung isu pencapaian dan petunjuk prestasi (KPI), Wong berkata, KPM mahu memberikan keyakinan kepada profesionalisme dan integriti guru dalam melaksanakan pentaksiran secara telus dan berakauntabiliti.

Menyentuh mengenai kualiti Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), KPM menjelaskan pembinaan item dan perekodan pentaksiran adalah berpandukan Jadual Spesifikasi Ujian yang ditetapkan oleh lembaga peperiksaan.

“Semua proses tersebut tertakluk kepada standard dan kawalan kualiti yang telah ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, KPM memberi perhatian serius terhadap isu kesejahteraan guru.

“Antara langkah diambil ialah memansuhkan keperluan key in tertentu dalam sistem sebelum ini bagi mengurangkan beban tugas.

“KPM juga sentiasa terbuka menerima aduan serta maklum balas daripada warga pendidik bagi menambah baik pelaksanaan dan memperkukuh ekosistem pendidikan negara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS