Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | ‘Reset’ Hamzah dan naratif pembinaan semula

Pemecatan Hamzah Zainudin daripada Bersatu mungkin menjadi berita gembira kepada kem Muhyiddin, namun bagi Hamzah dan ahli-ahli parlimen yang lain, ia menjadi titik perubahan yang membuka ruang kepada pembentukan naratif baharu blok pembangkang. 

Mari kita hayati kembali naratif ini sebelum kita membuat apa-apa andaian politik. Selepas bermula pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan pada Oktober lalu, terus diikuti dengan pemecatan ketua-ketua bahagian yang lain. 

Dalam proses ini, Hamzah diundang ke Iseas untuk membentangkan agenda pembangkang dan di situlah lahirnya apa yang dikatakan sebagai ‘Konsensus Nasional Baharu’. Gagasan ini belum dibedah secara mendalam, namun ia menjadi titik tolak kepada blok pembangkang untuk meneroka idea dan pendekatan baharu dalam politik negara. 

Sementara itu, ribut dalam Bersatu berterusan apabila Hamzah turut dipanggil ke Lembaga Disiplin buat kali kedua dalam tempoh tidak sampai tiga bulan. 

Akibat tindakan itu, Naib Presiden Ronald Kiandee menyatakan bantahan terbuka terhadap tindakan Lembaga Disiplin yang jelas mempunyai motif politik. 

Bantahan Ronald ini tidak sunyi. Seramai 19 orang ahli parlimen Bersatu menurunkan tandatangan menyatakan sokongan terbuka kepada bantahan Ronald terhadap tindakan selektif Lembaga Disiplin itu. 

Dari situlah, kemarahan Muhyiddin meluap hinggakan sehari selepas Hamzah dijadualkan bertemu Lembaga Disiplin, beliau dipecat serta-merta. Difahamkan, notis pemecatan itu dihantar sendiri oleh Muhyiddin menerusi aplikasi WhatsApp, bukan Lembaga Disiplin, seperti kebiasaannya. 

Dua hari selepas pemecatannya, Hamzah tampil di pentas ‘Reset’, di Petaling Jaya. Bertemu dengan para penyokong dan pemimpinnya. Nyata sekali beliau tidak berseorangan. Gelombang solidariti terhadap beliau mengalir dari seluruh negara.

Pemecatan Hamzah ini sebenarnya bukanlah pemecatan, sebaliknya ‘pembebasan’. Secara strategik, pemecatan itu membebaskan Hamzah daripada struktur lama yang semakin terikat dengan krisis kepercayaan.

Dalam politik, beban institusi sering menjadi liabiliti apabila persepsi akar umbi mulai retak. Dengan keluar daripada kerangka tersebut, Hamzah berpeluang membina identiti baharu tanpa terikat kepada pertahanan legasi lama.

Reset yang digerakkan bukan sekadar perubahan kepimpinan, tetapi usaha menyusun semula struktur, disiplin organisasi dan hala tuju mesej politik.

Bukan lagi pak turut presiden

Naratif ini diperkukuhkan lagi dengan perkembangan dalam Perikatan Nasional yang sedang melalui fasa konsolidasi kepimpinan di bawah Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Dalam konteks ini, Hamzah boleh memainkan peranan sebagai arkitek strategi, bukan lagi sekadar pak turut presiden, tetapi sebagai penggerak penyusunan semula blok pembangkang yang lebih tersusun dan berdisiplin. 

Reset yang ditawarkan perlu dilihat sebagai reformasi dalaman, bukan sekadar pertukaran individu.

Namun, Reset tanpa legitimasi akar umbi tidak akan bertahan. Ujian sebenar ialah sejauh mana Hamzah mampu meyakinkan penyokong bahawa perubahan ini bukan konflik peribadi, tetapi keperluan struktural.

PN harus diperkukuh, untuk maksud itu, Hamzah perlu memulakan usaha menggerakkan sokongan jitu agar PN kembali di samping rakyat, setelah hanyut dengan angan-angan poster boy yang tak berkesudahan. 

Politik Malaysia semakin menuntut kepimpinan yang konsisten dan jelas hala tujunya. Sekiranya Reset hanya dilihat sebagai tindak balas terhadap pemecatan, ia akan gagal membina momentum jangka panjang.

Dari sudut komunikasi politik, Hamzah perlu mengalihkan fokus daripada polemik kepada pelan tindakan: apakah struktur baharu yang mahu dibina, bagaimana disiplin parti diperkukuh, dan apakah agenda dasar yang membezakan bloknya daripada kerajaan. Tanpa tawaran dasar yang konkrit, Reset akan menjadi slogan kosong.

Untuk itu, di sinilah pentingnya dibedah kembali 'Konsensus Nasional Baharu'. Ini boleh menjadi 'naskhah' penting buat rakyat secara keseluruhannya. 

Isu-isu kos sara hidup, ekonomi, perpaduan bangsa, harus dicanai kembali menjadi wadah baharu buat Malaysia.

Pasca pemecatan ini, landskap politik pembangkang berada dalam fasa penentuan. Jika diurus dengan strategi yang tajam dan naratif yang konsisten, Reset Hamzah berpotensi menjadi titik mula pembinaan semula kepercayaan.

Tetapi jika gagal mengawal persepsi dan menyatukan barisan, episod ini hanya akan tercatat sebagai satu lagi fragmentasi dalam sejarah politik negara.

Meminjam kembali kata-kata Hamzah ketika Reset, “Saya bukan mahu jadi presiden, saya mahu jadi pejuang rakyat”. 

Ini mungkin retorik, namun retorik ini realistik yang bersandar pada realiti bahawa Reset memerlukan pejuang tulen, lebih dari memerlukan seorang presiden yang gagal memahami realiti politik. 


MAHDZIR IBRAHIM, aktivis politik yang baru dipecat daripada Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS