Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bestinet fail saman berbilion Ringgit terhadap Mkini, 9 yang lain
Diterbitkan:  Feb 24, 2026 10:02 PM
Dikemaskini: 2:04 PM

Bestinet Sdn Bhd dan pengasasnya, Aminul Islam Abdul Nor, menyaman sepuluh media dan individu, termasuk Malaysiakini, dengan tuntutan ganti rugi melebihi RM1 bilion.

Ini berkaitan laporan Bloomberg bertajuk “Everyone gets a cut, and migrant workers pay the price” yang diterbitkan pada 23 Jan serta laporan-laporan berikutnya yang mengulang dakwaan sama dan mengulas isu itu.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Bestinet dan Aminul mendakwa kenyataan itu menggambarkan mereka terlibat dalam pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, amalan rasuah, menafikan akses Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) kepada kerajaan, dan memperkayakan diri mereka atas penderitaan imigran yang terdedah.

"Kenyataan-Kenyataan fitnah tersebut adalah bersifat fitnah, palsu, tidak benar, tidak konsisten, tidak berasas, diterbitkan dengan niat jahat, mengelirukan, dan merupakan suatu rekaan sepenuhnya,” kata Aminul dalam afidavitnya, menurut dokumen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Feb dan disampaikan kepada Malaysiakini hari ini.

Malaysiakini dinamakan sebagai defendan kelima dalam saman itu, manakala pejabat Bloomberg di New York dan Kuala Lumpur masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

Defendan lain ialah The Edge Communications Sdn Bhd (penerbit The Edge), MNow Media Sdn Bhd (penerbit MalaysiaNow), Norhafizan Muhamad dan Nur Azwan Nusi (pemilik perkongsian yang mengendalikan Harapan Daily), bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli, dan pempengaruh Iswardy Morni yang mengendalikan saluran Youtube “YB Youtube Channel”.

Plaintif menuntut RM500 juta ganti rugi khas daripada setiap satu daripada dua entiti Bloomberg, dan RM5 juta daripada setiap satu daripada lapan defendan lain.

Mereka juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang ditentukan mahkamah, faedah lima peratus setahun ke atas semua ganti rugi, permohonan maaf bertulis, serta menarik balik artikel yang menyinggung.

Selain itu, plaintif memohon injunksi ex-parte terhadap defendan untuk menghalang mereka daripada terus menyebarkan kenyataan yang didakwa fitnah sehingga kes ini selesai, dengan alasan kenyataan itu mungkin akan diulang dan akan merosakkan reputasi mereka.

"Walaupun ganti rugi dituntut oleh plaintif-plaintif dalam penyata tuntutan, plaintif-plaintif dengan ikhlas percaya bahawa ganti rugi semata-mata bukanlah suatu remedi yang mencukupi dan /atau sesuai memandangkan perkara ini melibatkan reputasi dan nama baik plaintif-plaintif yang tidak mampu dipulihkan, dan sekiranya injuksi yang dipohon dalam notis permohonan tidak diberikan, apa-apa kerosakan yang dialami plaintif-plaintif adalah tidak dapat diperbaiki.

“Fitnah tersebut telah mencederakan dan menjejaskan dengan serius reputasi serta nama baik yang dibina selama 18 tahun oleh plaintif pertama (Bestinet) dalam bidang teknologi maklumat dan perundingan tenaga kerja, serta reputasi dan nama baik yang dibina selama 38 tahun oleh saya dalam mengurus perniagaan berorientasikan perkhidmatan serta sebagai seorang warganegara Malaysia yang bertanggungjawab,” tulis Aminul dalam afidavitnya.

Mahkamah tolak permohonan injuksi

Bagaimanapun, permohonan injunksi ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Roslan Mat Nor, tanpa kos.

Dalam penghakiman bertulisnya bertarikh Jumaat lalu, hakim menyatakan kenyataan yang didakwa fitnah itu berkaitan isu kepentingan awam, iaitu pengambilan pekerja migran ke Malaysia.

“Jika perintah injunksi interim diberikan, ia akan menghalang pihak defendan-defendan daripada mengutarakan pandangan berkenaan isu-isu kepentingan awam tersebut. Mahkamah berpendapat ia secara langsung telah menggugat kebebasan bersuara defendan-defendan,” katanya, sambil menegaskan bahawa kebebasan itu masih tertakluk kepada peruntukan undang-undang.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujah plaintif bahawa mana-mana jawapan atau pembelaan defendan terhadap saman itu tiada asas, dengan menunjukkan kemungkinan defendan boleh berhujah bahawa kenyataan mereka wajar atau merupakan komen yang adil.

Selain itu, hakim menyatakan plaintif gagal menunjukkan bahawa sekiranya mahkamah menolak permohonan injunksi interim ini, ia akan menyebabkan kemudaratan kepada plaintif-plaintif seperti kehilangan peluang perniagaan.

“Oleh kerana tiada keterangan sedemikian, adalah sukar bagi mahkamah ini menyatakan bahawa di dalam kenyataan umum defendan-defendan dalam afidavit sokongan telah menyebabkan kemudaratan kepada plaintif- plaintif dan perintah injunksi interim itu perlu diberikan segera melalui permohonan ex-parte ini,” katanya.

Yuran pengambilan pekerja asing

Artikel Bloomberg itu menumpukan pada nasib pekerja asing Bangladesh yang terpaksa meminjam wang yang banyak untuk membayar apa yang didakwa sebagai “yuran sindiket” bagi bekerja di Malaysia. Ia menyalahkan FWCMS yang dibangunkan oleh Bestinet dan diterima pakai oleh Malaysia pada 2015.

Susulan laporan itu, Latheefa menyelar kerajaan di X kerana berdiam diri mengenai laporan tersebut dan mempersoalkan komitmennya untuk memerangi rasuah.

Sementara itu, Rafizi dalam audio siar mingguannya berkata laporan Bloomberg itu menjejaskan reputasi, dan menggesa pelaksanaan prosedur yang betul dalam sistem pengambilan digital untuk mengelakkan pekerja asing dieksploitasi lagi.

Merujuk kepada penemuan dalam laporan audit kerajaan pada 2023, dia berkata kerajaan secara asasnya "dikunci" daripada sistem FWCMS sementara akses diberikan kepada pengendali bukan kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS