Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Cadangan bagi menghadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun seperti yang sedang hangat diperkatakan pada ketika ini patut juga dilakukan kepada semua wakil rakyat, sama ada di peringkat persekutuan ataupun di negeri.

Ini adalah penting supaya peluang dan ruang yang mencukupi dapat diberikan kepada semua warganegara Malaysia yang layak untuk tampil bertanding dan menggantikan mereka.

Pada masa yang sama, kita dapat elakkan mana-mana individu tertentu menjadi wakil rakyat untuk satu tempoh yang sangat lama hingga boleh terdedah dengan risiko salah guna kuasa dan rasuah.

Ia juga bagi mengelakkan sebarang tanggapan negatif datang dari orang ramai terhadap mana-mana individu yang terlalu lama menjadi wakil rakyat.

Dengan menghadkan tempoh jawatan yang dipegang oleh semua wakil rakyat ini juga, kita dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada muka-muka baru yang memiliki idea-idea baru dan lebih bernas daripada muka-muka lama untuk memberi khidmat kepada rakyat dan membangunkan negara.

Kuasa monopoli mana-mana individu dalam memegang jawatan wakil rakyat sama ada sebagai ahli Parlimen di Dewan Rakyat ataupun sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) perlu dikawal dan dihadkan demi kemajuan dan kemakmuran negara.

Setiap rakyat Malaysia patut diberi ruang dan peluang untuk jadi seorang wakil rakyat sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat negeri dan ini dapat dijayakan sekiranya kita menghadkan tempoh masa berkhidmat setiap Yang Berhormat (YB).

Tiada peruntukan undang-undang pada ketika yang boleh menghadkan tempoh jawatan seseorang itu untuk menjadi seorang wakil rakyat sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat negeri.

Ini menunjukkan bahawa seseorang individu itu boleh menjadi wakil rakyat selama mana yang mereka mahu.

Mereka malah boleh menjadi wakil rakyat untuk selama-lamanya, melainkan sekiranya mereka sakit tenat, muflis, disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah di dalam Persekutuan (atau sebelum hari Malaysia dalam kawasan-kawasan Sabah atau Sarawak atau Singapura) dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000.00 dan belum menerima pengampunan ataupun didapati mendapat kewarganegaraan atau menggunakan hak kewarganegaraan negara asing atau membuat pengakuan taat setia kepada mana-mana negara asing. (Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan).

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, ruang dan peluang yang luas harus diberikan kepada semua pihak untuk tampil menjadi wakil rakyat dan menyumbang bakti mereka kepada negara kita.

Sampai bila?

Sampai bila rakyat kita hendak tengok muka-muka yang sama dan idea-idea yang sama setiap kali Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang?

Negara kita tidak boleh hanya bergantung pada individu-individu tertentu sahaja untuk menjadi wakil rakyat dan pemimpin.

Ramai lagi rakyat Malaysia yang layak untuk masuk bertanding. Ruang dan peluang yang mencukupi perlu diberikan kepada semua rakyat Malaysia untuk bekhidmat sebagai wakil rakyat.

Sudah sampai masanya, negara kita mengambil satu langkah yang lebih berani dan drastik terhadap perkara ini.

Semua pihak harus melihat cadangan ini dari sudut yang positif iaitu bagi mengukuhkan lagi prinsip dan amalan demokrasi dalam negara kita.

Pihak kerajaan dan semua pemimpin dalam negara kita boleh meneliti cadangan ini bersama dengan pakar-pakar berkaitan sebelum mengambil sebarang keputusan muktamad.


MUZAFFAR SYAH MALLOW, profesor madya, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS