Satu lagi himpunan bagi mendesak pengunduran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki akan diadakan Jumaat ini, kali ini di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.
Penganjur merancang untuk mengadakan himpunan itu bermula jam 10 pagi, dengan peserta diminta mengenakan pakaian berwarna hitam sebagai simbol “solidariti dan bantahan”.
Wakil Sekretariat Himpunan Tangkap Azam Baki, Lee Wai Hong berkata himpunan itu akan menumpukan dakwaan dalam laporan Bloomberg, yang SPRM bersekongkol dalam apa yang digelar sebagai “mafia korporat”.
Lee membangkitkan dakwaan kewujudan ‘Seksyen D’ dalam suruhanjaya itu, yang dikatakan terlibat dalam kegiatan seperti gangguan, serbuan agresif dan tangkapan terpilih.
“Daripada membanteras rasuah, agensi penguatkuasaan utama negara itu dituduh bertindak sebagai alat tekanan untuk mengugut pemilik perniagaan yang sah dan melaksanakan pengambilalihan korporat secara paksa.
“Mangsa mendakwa mereka ditekan dan ditakutkan sehingga terpaksa melepaskan pegangan saham syarikat pada harga diskaun kepada rangkaian mafia korporat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Lee berkata pihaknya menuntut penyingkiran segera Azam daripada SPRM serta pelaksanaan siasatan bebas, telus dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak terhadap dakwaan tersebut.
Laporan Bloomberg pada 12 Februari lalu mendakwa Azam mengetahui kewujudan rangkaian “mafia korporat” yang didakwa bersekongkol dengan unit penyiasatan SPRM dikenali sebagai “Seksyen D”.
Laporan itu memperincikan taktik di mana kumpulan ahli perniagaan terpilih akan menyasarkan sesebuah syarikat, kemudian memfailkan aduan SPRM terhadapnya. SPRM kemudiannya akan menyiasat pengasas syarikat tersebut, memberikan tekanan yang membolehkan pengadu mengambil alih kawalan firma berkenaan.
Saksi, termasuk orang dalam daripada SPRM, mendakwa bahawa sesetengah ahli perniagaan atau wakil mereka turut hadir di pejabat agensi itu apabila pesaing mereka dibawa masuk untuk disoal siasat.
Susulan laporan itu, Azam menolak dakwaan tersebut sebagai tidak berasas.
Pada 24 Februari lalu, SPRM mengeluarkan penafian tegas kedua yang antara lain turut menyifatkan dakwaan berkenaan “mafia korporat” sebagai tidak berasas.
SPRM mendakwa tuduhan tersebut adalah sebahagian daripada kempen fitnah dan “satu cubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan suruhanjaya dalam sektor korporat, khususnya terhadap pihak-pihak yang mungkin terjejas”.
Sementara itu, Lee berkata notis mengenai himpunan telah dihantar kepada polis dan mereka menjangkakan kira-kira 100 peserta akan hadir.
“Kredibiliti Azam Baki sudah tidak dapat dipulihkan lagi. Jika kita memilih untuk berdiam diri sementara institusi kerajaan disalahgunakan untuk pemerasan dan kelangsungan politik, itu bermakna kita mengabaikan tanggungjawab kita untuk menjaga masa depan negara,” dakwanya.
Pada 15 Februari lalu, ratusan turun ke jalan raya di Kuala Lumpur agi menggesa peletakan jawatan dan penahanan Azam.
Selain Azam, turut menjadi sasaran peserta adalah Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang menurut mereka mempertahankan Azam daripada desakan letak jawatan sementara siasatan bebas dijalankan.
