Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi baru PN: PAS mewarisi organisasi retak, rosak - Amanah
Diterbitkan:  Feb 25, 2026 5:28 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Amanah berpendapat pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baru bukan menghantar isyarat bahawa parti tersebut sudah pulih daripada krisis dalaman.

Sebaliknya, langkah menggantikan Muhyiddin Yassin dengan Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Parlimen Kemanan serta Naib Presiden PAS itu memberi gambaran PN memasuki fasa berkecamuk.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata Muhyiddin sebenarnya menunjukkan kebijaksanaan apabila bersetuju menyerahkan jawatan Pengerusi PN baru-baru ini selepas berjaya mengetuainya semasa gabungan tersebut berada dalam keadaan stabil.

Apabila mengalami krisis, katanya, Muhyiddin menyerahkan jawatan pengerusi kepada PAS yang dilihat bersungguh-sungguh mahukan kedudukan tersebut.

“Kepimpinan yang lahir ketika sesebuah organisasi kuat adalah mandat tetapi kepimpinan yang muncul ketika organisasi retak adalah mewarisi kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PN mengumumkan pelantikan Ahmad Samsuri menggantikan Muhyiddin pada 22 Feb lalu mengadakan mesyuarat mengenainya. Proses pengesahan peletakan jawatan Muhyiddin dan pelantikan Ahmad Samsuri itu didakwa berlangsung kurang dari 30 minit.

Ia menyusul selepas hubungan PAS dan Bersatu tegang ekoran pertukaran jawatan Menteri Besar Perlis kira-kira dua bulan sebelum itu.

Untuk rekod mesyuarat Majlis Tertinggi PN itu berjaya dilangsungkan hampir enam minggu selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menulis surat mendesak agar ia diadakan.

Menurut Mahfuz, pertukaran jawatan pengerusi itu boleh difahami dengan analogi sebuah pasukan bola sepak yang berada dalam dua situasi berbeza – menang dan kalah.

“Kalau pasukan sedang menang 3-0, semua orang berebut jadi kapten, tetapi apabila kalah 0-3, siapa yang mengambil lilitan kapten bukan mengambil kemenangan sebaliknya mengambil masalah,” katanya.

Apa yang lebih penting, tambah Mahfuz, PAS sendiri belum menunjukkan rekod pengurusan krisis dalaman yang meyakinkan seperti yang terjelma di Perlis baru-baru ini.

Katanya, jawatan utama dalam kerajaan negeri itu terlepas daripada PAS bukan kerana penolakan rakyat sebaliknya kegagalan PAS menguruskan konflik dalaman parti berkenaan.

“Itu adalah kegagalan kepimpinan mengurus perbezaan. Macam mana PAS nak selamatkan PN sedangkan Perlis yang kecil gagal diselamatkan,” katanya.

Dia juga menegaskan bahawa kekuatan sebenar sesebuah parti bukan saja terletak pada jumlah kerusi yang dimenangi sebaliknya aspek kestabilan dalaman, disiplin organisasi dan keupayaan mentadbir.

“Perubahan pengerusi itu bukan simbol kebangkitan PN, sebaliknya lebih menyerupai usaha menyusun semula kepimpinan di atas struktur yang sedang mereput,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS