Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kesemua ahli parlimen yang dipecat daripada Bersatu bersama bekas timbalan presiden parti itu, Hamzah Zainudin menyatakan walak (setia) kepada PAS dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar.

Seorang ahli Parlimen yang dilihat merupakan kem Hamzah yang enggan namanya didedahkan berkata, dalam masa sama mereka akan terus kekal bersama PN di blok pembangkang.

"Sudah pasti kami termasuk Datuk Seri Hamzah kekal bersama PN. Kami dah nyatakan walak kepada PAS dan Dr Sam (Samsuri) dalam PN walaupun (sebagai ahli parlimen) bebas," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai hala tuju politik Hamzah selepas dipecat oleh Bersatu sebelum ini.

Jelasnya, akan ada langkah kehadapan yang sedang dirangka oleh ketua pembangkang itu bagi meneruskan kelangsungan politik mereka.

"Itu kena tunggu dulu, tak boleh cerita sekarang," katanya lagi yang memberi bayangan mereka akan bersama PAS.

Hamzah mempunyai sokongan 18 ahli parlimen termasuk yang dipecat daripada Bersatu dan dijangka akan turut memainkan peranan penting dalam blok pembangkang.

Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee serta Ketua Srikandi Bersatu Mas Ermieyati Samsudin antara pemimpin Bersatu yang memilih untuk bersama Hamzah kerana hilang keyakinan terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin

Pada 13 Feb lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat Hamzah yang juga timbalan presiden parti itu berkuat kuasa serta merta.

Ini berdasarkan notis yang dikeluarkan oleh pengerusi lembaga disiplin, Mohd Radzi Manan yang dilihat oleh Malaysiakini.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Hamzah tidak menolak kemungkinan bahawa Hamzah akan membentuk jalur politik baru.

Sama ada akan membentuk gabungan ataupun membuka parti baru ia akan ditentukan kemudiannya, namun buat masa ini mereka semua kekal bersama PN.

"Saya boleh katakan tidak mustahil akan ada satu gabungan ataupun gagasan politik baru yang akan dibawa Hamzah.

"Sama ada parti baru ataupun sekadar gagasan bersama ahli Parlimen yang itu akan ditentukan nanti," katanya lagi.

engarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi

Ketika dihubungi, Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi, berkata pilihan yang mungkin untuk Hamzah mengelakkan kehilangan kerusi parlimen Larut melalui penguatkuasaan undang-undang antilompat parti adalah dengan melancarkan platform baru sebagai persediaan untuk pilihan raya umum akan datang.

“Saya nampak ada dua cara. Macam kita nampak dulu parti Amanah, sebelum ada parti mereka yang terbuang dalam Muktamar PAS 2015 itu membentuk NGO Gerakan Harapan Baru, ada yang bentuk PASMA dan akhirnya bergabung untuk bentuk Amanah,” kata Asraf kepada Malaysiakini.

"Benda ni Hamzah mungkin boleh buat walaupun kita belum dengar apa-apa lagi secara rasmi. Hanya gerakan sebagai Reset. Itu cara penubuhan NGO pernah dibuat sebelum ini. Cara itu paling selamat untuk Hamzah, gunakan platform tersebut untuk bergerak.

Menjelaskan lebih lanjut, Asraf berkata Hamzah dan penyandang parlimen lain juga boleh menyertai parti politik lain, tanpa sebarang pengisytiharan rasmi.

“Dia boleh menggerakkan melalui parti itu buat program, dia datang je. Sebagai pengisi program.

"Itu kemungkinan yang dia boleh buat kalau dia rasa ada mileage politik untuk dia” katanya.

Asraf menambah bahawa pilihan untuk ahli politik yang diketepikan untuk melanjutkan kerjaya politik mereka terlebih dahulu melalui NGO, yang kemudiannya diubah menjadi parti politik menjelang pilihan raya, juga merupakan trend biasa di seluruh rantau ini, termasuk negara jiran Indonesia dan Thailand.

“Benda ini bukan hanya di Malaysia sahaja. Di Indonesia kita ada contoh Anies Baswedan yang sekarang bergerak melalui platform NGO, dan kalau kita baca ada perancangan untuk jadi platform politik,” kata Asraf.

Anies, salah seorang daripada tiga calon dalam pilihan raya presiden Indonesia 2024, telah dilantik sebagai ahli kehormat Gerakan Rakyat, yang sejak itu telah berubah menjadi sebuah parti politik pada 18 Januari tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS