Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak tahu nak undi siapa? Tunggu Jun, kata Rafizi
Diterbitkan:  Feb 26, 2026 10:28 AM
Dikemaskini: 3:04 AM

Cara Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengendalikan pelbagai isu, termasuk kes rasuah dan perkara penting bagi golongan progresif serta bukan Melayu, menyebabkan peningkatan rasa kecewa dalam kalangan penyokong teras PH.

Bagaimanapun, Rafizi Ramli, bekas timbalan presiden PKR yang ditolak dalam pemilihan, memberi isyarat bahawa penyokong PH mungkin mempunyai sesuatu yang boleh dinantikan daripadanya menjelang Jun.

Dalam temu bual dengan BFM yang disiarkan semalam, Rafizi berkata dia dan sekutunya terbuka untuk "membawa haluan sendiri".

Ditanya sama ada haluan ini akan melibatkan penubuhan parti, anggota parlimen Pandan itu menjawab bahawa mereka mahu memberi "pilihan" kepada pengundi, terutamanya golongan muda, namun bentuknya hanya akan diputuskan dalam beberapa bulan lagi.

"Kami sedang melihat angka, kami melihat segala kemungkinan, pelbagai kemungkinan konfigurasi politik. Tetapi saya rasa anda akan mendengar lebih banyak daripada kami selepas Jun.

"Bagi mereka yang merasakan 'ini sudah berakhir, saya tidak ada pilihan untuk mengundi siapa'... kerana saya rasa begitulah cara saya terjun ke politik pada 1998. Saya mahukan pilihan.

"Jadi saya mahu memastikan generasi muda terutamanya tidak dinafikan pilihan tersebut," katanya.

Sama ada mereka akan menang atau kalah, katanya hanya masa yang akan menentukan.

Rafizi semakin menjauhkan diri daripada PKR selepas tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti tahun lalu kepada Nurul Izzah Anwar - dan kini merupakan pengkritik keras Anwar.

Minggu lalu dia memberi gambaran akan mempertahankan kerusi parlimen Pandan, tetapi berkemungkinan besar bukan sebagai calon PKR.

Dia menolak kemungkinan menyertai parti sedia ada, atau bekerjasama dengan bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin - yang digambarkannya sebagai amat bertentangan dengannya.

Khairy Jamaluddin (baju putih, tengah)

Rafizi memberitahu BFM bahawa matlamat akhirnya bukan tertumpu kepada menawan Putrajaya, sambil menyatakan dia tidak mahu berkompromi dalam segala hal semata-mata untuk berada dalam kerajaan.

Sebaliknya, veteran PKR itu berkata matlamatnya adalah untuk melatih generasi pemimpin progresif seterusnya.

"Saya mempunyai satu atau dua pusingan lagi untuk memastikan sebahagian daripada ahli politik muda yang progresif dan bersih ini benar-benar boleh berdikari dan menjalani tempoh penuh kerjaya mereka.

"Saya rasa jika mereka bertahan sehingga usia 50-an dan melalui pengalaman dalam kerajaan atau sebagai pembangkang kanan, itu akan memastikan kita mempunyai barisan ahli politik yang baik untuk tahun-tahun mendatang.

"Kerana mereka akan dapat melatih orang baru dan berkata 'lihat, saya berjaya lakukannya. Saya tidak ambil wang, saya pegang teguh pada prinsip dan saya bertahan. Saya membawa perubahan.' Itulah matlamat akhir saya," katanya.

Pada masa ini, sekutu Rafizi dalam PKR termasuk anggota parlimen Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), S Kesavan (Sungai Siput), Tan Kar Hing (Gopeng), dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

Menteri Chang Lih Kang dan Akmal Nasir juga sangat rapat dengan Rafizi, begitu juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS