mk-logo
Berita
'Cukup-cukuplah' - Persatuan Teoh Beng Hock seru sertai demo bantah Azam
Diterbitkan:  Feb 26, 2026 5:05 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Pemimpin Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi akan menyertai demonstrasi pada esok hari bagi membantah Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki di luar ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

Merujuk kematian Teoh, bekas pembantu politik DAP, serta penolong pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed, pengerusi persatuan itu Koong Hui Yein mendakwa kini golongan ahli perniagaan pula menjadi sasaran SPRM.

Ini susulan laporan Bloomberg yang mendakwa SPRM, termasuk pegawai kanan, bersekongkol dengan tokoh perniagaan tertentu bagi menyingkirkan pesaing dan merancang pengambilalihan korporat.

“Cukup-cukuplah. Rakyat Malaysia mesti bersatu untuk berkata ‘tidak’ kepada SPRM yang beroperasi mengatasi undang-undang tanpa akauntabiliti.

“Kita mesti beritahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa pelanggar undang-undang perlu berdepan tindakan perundangan dan reformasi SPRM tidak boleh ditangguh lagi,” tambah Koong dalam kenyataan.

Dia menggesa orang ramai menyertai himpunan bagi menyampaikan mesej tegas kepada kerajaan.

“Kami menuntut penamatan penyeksaan terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersalah dan mematuhi undang-undang atas alasan siasatan,” katanya lagi.

Walaupun SPRM berulang kali menafikan dakwaan “mafia korporat”, pelbagai pihak termasuk DAP mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perkara itu.

Kerajaan turut menubuhkan pasukan petugas berasingan diketuai Peguam Negara Dusuki Mokhtar bagi menyiasat pegangan saham Azam.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu menafikan sebarang salah laku manakala suruhanjaya berkenaan menegaskan ia menjadi sasaran kempen memburukkan reputasi yang disengajakan.

Himpunan esok diterajui ahli perniagaan Albert Tei yang mendedahkan skandal perlombongan di Sabah serta aktivis Lee Wai Hong.

Ketika PH pimpinan Anwar berada di blok pembangkang, mereka turut menyertai himpunan serupa menentang Azam berhubung skandal pegangan saham terdahulu.

Namun, selepas menjadi perdana menteri, Anwar memperbaharui tempoh perkhidmatan Azam sebanyak tiga kali dengan alasan ketua SPRM itu berani menangani kes rasuah berprofil tinggi.

Pengkritik pula menuduh perdana menteri mengikut jejak langkah pendahulunya, dengan SPRM didakwa diperalat terhadap seteru politik manakala sekutu dilindungi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS