Paling Popular
Terkini

Kongres “khas” DAP yang hangat diperkatakan dan dijadualkan pada 12 Julai ini adalah satu persidangan kebangsaan yang diadakan mengikut perlembagaan parti.

Setiausaha agung DAP Anthony Loke menjelaskan bahawa ia bukanlah kongres khas atau mesyuarat agung luar biasa (EGM), seperti yang dilaporkan secara tidak tepat oleh beberapa media.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, dia berkata mengikut perlembagaan DAP, satu kongres kebangsaan mesti diadakan setiap tiga tahun atau 36 bulan, dan pemilihan parti dijalankan dalam tempoh tersebut.

Katanya, perlembagaan parti juga menetapkan satu persidangan kebangsaan mesti diadakan setiap 18 bulan, kecuali jika kongres kebangsaan berlangsung dalam tempoh tersebut.

“Apa yang kita nak buat adalah persidangan kebangsaan, yang memang telah dijadualkan untuk tahun ini. Ia bukan kongres khas,” katanya sambil menambah bahawa persidangan kebangsaan tidak melibatkan pemilihan parti.

Memandangkan DAP telah mengadakan kongres kebangsaan beserta pemilihan parti pada Mac tahun lalu, Loke berkata parti itu perlu mengadakan persidangan kebangsaan sebelum September tahun ini.

Menurutnya, parti memutuskan untuk mempercepat persidangan itu kepada 12 Julai bagi membincangkan kedudukannya dalam kerajaan.

Perincian belum diputuskan

Ditanya mengenai butiran persidangan itu, Loke berkata idea awal adalah agar jawatankuasa eksekutif pusat membentangkan satu usul untuk dibahaskan dan diundi oleh para perwakilan.

“Kaedah pengundian mungkin satu ahli, satu undi — bukan dengan angkat tangan, tetapi melalui undi sulit, seperti referendum,” katanya.

Loke turut mengesahkan bahawa DAP akan melantik sebuah firma penyelidik luar untuk menjalankan tinjauan pendapat berkala sebagai rujukan bagi mengukur sentimen rakyat terhadap kerajaan.

Dia bagaimanapun tidak menjawab secara terus berhubung sama ada dia berpuas hati atau tidak dengan prestasi dan usaha reformasi kerajaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Ti da gunanya saya kata saya puas hati atau tidak. Apa yang penting adalah kita terus mendesak reformasi dari dalam kerajaan.

“Dalam dua hingga tiga bulan kebelakangan ini, apa yang boleh kita laporkan kepada pengundi ialah beberapa reformasi telah mula dilaksanakan.

“Contohnya, dua rang undang-undang pindaan perlembagaan: mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri dan memisahkan kuasa peguam negara,” katanya.

DAP kalah teruk dalam PRN Sabah pada November tahun lalu, dengan tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandinginya.

DAP kemudian mengakui yang parti itu dan PH berdepan krisis keyakinan dan berjanji mempercepat agenda reformasi bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam tempoh enam bulan berikutnya.

Loke kemudian menjelaskan bahawa jika Anwar gagal melaksanakan reformasi bermakna dalam tempoh enam bulan tersebut, DAP akan menilai semula kedudukannya dalam kerajaan.

Namun, katanya, ia tidak bermaksud DAP — parti dengan kerusi Parlimen paling banyak dalam kerajaan — akan menarik sokongan terhadap pentadbiran Madani sehingga menyebabkan ketidaktentuan politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS