GLOBAL | Israel melancarkan serangan terhadap Iran hari ini, ketika Amerika Syarikat (AS) memulakan operasi ketenteraan berskala besar yang dijangka berlarutan beberapa hari, sekali gus mencetuskan ketegangan baru di Asia Barat.
Presiden Donald Trump dalam mesej rakaman yang disiarkan di platform Truth Social berkata AS melancarkan operasi “besar-besaran dan sedang berlangsung” terhadap Republik Islam itu, sambil berikrar memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear.
“Kami bertindak untuk mempertahankan rakyat Amerika dengan menghapuskan ancaman segera daripada rejim Iran,” katanya.
Dua pegawai AS yang enggan dikenali dipetik Reuters berkata tentera Amerika memulakan siri serangan terhadap sasaran di Iran melibatkan operasi udara dan laut. Skop penuh serangan masih belum jelas, dengan seorang pegawai AS dilapor memaklumkan kempen itu dijangka berlangsung selama beberapa hari.

Seorang pegawai Iran pula dipetik Reuters bahawa Tehran sedang bersiap sedia untuk melakukan tindak balas yang “menghancurkan”.
Reuters memetik sumber berkata pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, tidak berada di Tehran dan telah dipindahkan ke lokasi selamat.
Jabatan Perang AS memaklumkan operasi serangan terhadap Iran dinamakan “Operation Epic Fury”. Nama itu turut disiarkan oleh jabatan berkenaan di platform X.
Menurut seorang pegawai AS, tentera Amerika merancang melaksanakan operasi pelbagai hari terhadap Iran.
Ketegangan ini berisiko memperluas konflik di Asia Barat, ketika hubungan Washington-Tehran kekal tegang susulan isu nuklear dan keselamatan serantau yang berlarutan sejak beberapa dekad.
Susulan perang udara 12 hari
Serangan terbaru itu menyusul perang udara selama 12 hari antara Israel dan Iran pada Jun lalu, selain amaran berulang kali daripada Washington dan Tel Aviv bahawa tindakan ketenteraan akan diambil sekiranya Iran meneruskan program nuklear dan peluru berpandunya.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz dilaporkan berkata negaranya melancarkan serangan pencegahan bagi “menghapuskan ancaman terhadap Negara Israel”.
Serangan itu berlaku ketika umat Islam sedang menjalani ibadah Ramadan. Media Iran melaporkan letupan kedengaran di Tehran pada Sabtu. Di Israel, siren amaran dibunyikan sekitar 8.15 pagi waktu tempatan sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan serangan balas peluru berpandu.
Tentera Israel mengumumkan penutupan sekolah dan tempat kerja kecuali sektor penting, serta larangan penggunaan ruang udara awam. Israel turut menutup ruang udaranya kepada penerbangan komersial dan meminta orang ramai tidak menuju ke lapangan terbang.
Seorang pegawai pertahanan Israel berkata operasi itu telah dirancang sejak berbulan-bulan lalu dengan penyelarasan bersama Washington dan tarikh pelancaran ditentukan beberapa minggu lalu.
Pada Februari, AS dan Iran menyambung semula rundingan bagi menyelesaikan pertikaian berhubung program nuklear Iran melalui saluran diplomatik, dalam usaha mengelakkan konfrontasi ketenteraan yang boleh menggugat kestabilan rantau itu.
Bagaimanapun, serangan hari ini dilihat memalapkan lagi harapan terhadap penyelesaian diplomatik.
