Tiga daripada empat anak bekas menteri kewangan Allahyarham Daim Zainuddin yang sedang dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai kini berada di luar negara.
Merujuk rekod Jabatan Imigresen, Ketua Pengarahnya Zakaria Shaaban berkata tiga individu terbabit dikesan meninggalkan Malaysia pada akhir Januari dan awal bulan ini.
Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung perkara itu dengan alasan siasatan berterusan oleh agensi antirasuah berkaitan tiga beradik tersebut.
"Ya, saya sahkan mereka sudah pun keluar dari Malaysia kecuali seorang yang buat masa ini tiada rekod pergerakan keluar dari negara.
"Lokasi keberadaan mereka tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan dijalankan oleh SPRM,“ kata Zakaria seperti dipetik media tempatan hari ini.
Semalam, SPRM merayu bantuan orang ramai untuk mengesan empat anak Daim — Asnida, Wira Dani, Amir Zainuddin dan Amin Zainuddin — bagi membantu siasatan satu kes.
Suruhanjaya itu turut menyenaraikan alamat terakhir mereka yang diketahui di Kuala Lumpur dan Selangor, serta maklumat pegawai penyiasat untuk dihubungi sekiranya orang ramai mempunyai maklumat untuk disalurkan kepada pihak berkuasa.
Susulan penyiaran butiran mereka oleh SPRM, peguam yang mewakili dua daripada anak tersebut mengkritik tindakan agensi itu sebagai “cuai dan tidak berasas”, sambil menegaskan anak guam mereka sentiasa berhubung dengan suruhanjaya berkenaan.
Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh menjelaskan notis hanya diserahkan kepada anak guam mereka, Amir dan Amin, pada 25 Februari untuk menghadiri sesi temu bual pada 11 Mac.
“Walaupun begitu, SPRM memilih untuk bertindak terburu-buru dengan mengeluarkan kenyataan media ini hanya dua hari selepas notis diserahkan.
“Tiada asas untuk notis kepada umum itu. Ia satu langkah terancang untuk memberi gambaran palsu kononnya anak guam kami melarikan diri atau mengelak siasatan,” kata peguam berkenaan pada satu kenyataan semalam.
Mereka turut mendakwa kenyataan berhubung anak-anak Daim itu dikeluarkan bagi mengalihkan perhatian umum daripada gesaan supaya satu suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan suruhanjaya itu sendiri.
Walaupun kenyataan SPRM mengenai anak-anak Daim tidak menyatakan kes yang memerlukan kerjasama mereka, notis tersebut dibuat serentak dengan pengumuman Ketua Polis Negara Khalid Ismail bahawa polis sedang menyiasat cubaan menggugat kestabilan negara.
Menurut Khalid, plot tersebut melibatkan seorang “individu berpengaruh” yang menggunakan media antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Azam.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan selepas polis menerima laporan mengenai konspirasi yang didakwa pada 26 Februari, dengan laporan tersebut mengaitkan seorang wanita yang didakwa mengadakan mesyuarat dalam talian pada Julai tahun lalu untuk membincangkan rancangan berkenaan.
Dua anak Daim, dua peguam serta beberapa wakil sebuah firma komunikasi strategik antarabangsa turut dikatakan menghadiri mesyuarat tersebut.
Seksyen 124B Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan bagi aktiviti yang dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen dan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Balu Daim, Na’imah Abdul Khalid, kemudian menafikan sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan, sambil menegaskan kandungan laporan polis itu sebagai “palsu dan tidak masuk akal”.
Na'imah berkata masa laporan polis dibuat menunjukkan cubaan terdesak untuk mengalihkan perhatian umum daripada desakan yang semakin meningkat supaya Azam disingkirkan daripada jawatannya
Menurutnya laporan itu dibuat tujuh bulan selepas perbincangan yang didakwa dan ketika kerajaan pimpinan Anwar berdepan antara skandal terbesar.
Dia turut menafikan sebarang penglibatan dalam laporan pendedahan agensi berita antarabangsa Bloomberg yang mengaitkan Azam dan menyifatkan dakwaan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menghina wartawan yang terlibat.
Tambahnya lagi, dengan menggunakan agensi penguat kuasa dalam keadaan yang sarat dengan unsur politik, kerajaan hanya mengesahkan teras utama laporan Bloomberg yang mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa institusi.
