Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR kecam AS, Israel serang Iran
Diterbitkan:  Feb 28, 2026 8:19 PM
Dikemaskini: 12:19 PM

PKR mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan ketenteraan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, menyifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa yang mengancam kestabilan serantau dan global.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR Dr Maszlee Malik dalam kenyataan hari ini berkata tindakan itu adalah perbuatan perang tanpa provokasi yang melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutama Perkara 2(4), yang melarang penggunaan kekerasan terhadap keutuhan wilayah sesebuah negara.

“Peningkatan berbahaya ini mengancam kestabilan serantau dan global, khususnya di Asia Barat yang sedia bergolak. Dunia memerlukan keamanan, bukan lebih banyak peperangan. Kami dengan tegas menolak campur tangan ketenteraan asing dan penundukan hak sesebuah negara untuk menentukan nasib sendiri.

“PKR berdiri teguh bersama rakyat Iran, yang hanya mereka mempunyai hak untuk menentukan masa depan mereka sendiri, bebas daripada paksaan dan keganasan luar,” katanya.

Justeru, Maszlee berkata biro itu menggesa penamatan serta-merta semua tindakan ketenteraan bermusuhan terhadap Republik Islam itu, penghormatan penuh terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Iran selaras dengan Piagam PBB, serta tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan pencerobohan dan menegakkan keamanan antarabangsa.

Beliau turut menggesa AS dan Israel menghentikan permusuhan dan mengutamakan diplomasi serta kewujudan bersama secara aman.

Terdahulu, AS dan Israel melancarkan serangan yang kemudiannya menyifatkan langkah itu sebagai ‘serangan awal’ terhadap musuh ketatnya ‘untuk menghapuskan ancaman.’

Serangan itu berlaku selepas AS meningkatkan secara besar-besaran kehadiran ketenteraannya di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Tehran supaya mengurangkan program nuklearnya, serta susulan tindakan keras Iran terhadap protes yang meluas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS