Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mungkin tak cukup undi, k’jaan akan ambil risiko bentang RUU asing kuasa AG-PP?

Selepas kajian bertahun lamanya, satu rang undang-undang (RUU) untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya akan dibahaskan di Parlimen pada Selasa ini.

Bagaimanapun, pindaan Perlembagaan dalam bentuknya sekarang - dan tanpa sebarang perubahan dibuat - mungkin tidak akan mendapat sokongan mencukupi untuk diluluskan.

Sepuluh ahli Parlimen PKR memberi isyarat mereka tidak akan menyokong RUU itu jika kerajaan antara lain tidak memasukkan klausa yang membenarkan Parlimen menilai calon pendakwa raya.

Pada masa ini, RUU itu mencadangkan agar Yang di-Pertuan Agong mengikut budi bicara baginda melantik pendakwa raya selepas menerima nasihat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan — sebuah badan yang pengerusinya dilantik oleh Perdana Menteri.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan tempoh tujuh tahun untuk lantikan pendakwa raya.

Kerajaan mempunyai 153 ahli Parlimen, dan memerlukan 148 undi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan.

Ini bermakna jika 10 ahli Parlimen PKR itu tetap berpendirian untuk tidak menyokongnya jika kerajaan cuba meluluskan rang undang-undang itu tanpa pindaan, ia tidak akan dapat diluluskan.

Pendirian kekal

Ketika dihubungi, salah seorang daripada 10 ahli Parlimen berkenaan, Hassan Karim (Pasir Gudang) berkata pendiriannya kekal.

“Secara prinsip, saya menyokong RUU pemisahan itu. Saya akan berbahas dan menyatakan beberapa kelemahan yang perlu dikaji oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP).

“Saya harap RUU itu ditangguhkan; tidak perlu terburu-buru. Tetapi jika kerajaan tetap mahu meluluskannya, saya akan membuat pertimbangan akhir semasa pengundian,” katanya kepada Malaysiakini.

Hassan Karim

Selain mereka, difahamkan ada beberapa ahli Parlimen DAP juga sedang berusaha agar RUU itu ditambah baik.

“Kami sedang melakukan apa yang termampu secara dalaman,” kata seorang ahli Parlimen yang enggan dinamakan kepada Malaysiakini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran ialah daripada DAP.

Namun, ahli-ahli Parlimen DAP yang dihubungi Malaysiakini tidak menyatakan sama ada mereka akan menyokong atau tidak sekiranya kerajaan cuba meluluskan RUU itu tanpa pindaan.

Kerajaan juga tidak boleh bergantung pada sokongan pembangkang, kerana mereka turut menggesa agar RUU itu diperhalusi lebih lanjut.

Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata walaupun RUU itu bertujuan memisahkan peranan pendakwa raya daripada peguam negara, namun ia masih gagal menangani masalah seorang pegawai yang memegang kuasa luas untuk memulakan, menjalankan, atau menghentikan prosiding jenayah tanpa akauntabiliti.

Perlu tambah baik

Pada Khamis lalu, JPKP yang menyelia soal reformasi institusi berkata walaupun ia menyokong hasrat RUU itu, ia perlu dirujuk kepada jawatankuasa untuk penambahbaikan.

Sepucuk surat yang menyatakan pendirian ini telah dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Setakat ini, baik Azalina mahupun kerajaan belum memberikan respons terhadap gesaan supaya RUU itu ditangguhkan.

Kali terakhir pindaan Perlembagaan gagal diluluskan adalah pada 2019, apabila kerajaan ketika itu gagal mendapatkan sokongan mencukupi bagi RUU untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai setara dengan Semenanjung.

Ia selepas blok Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkecuali daripada mengundi, berikutan keengganan kerajaan menghantar RUU itu kepada JPKP untuk diperhalusi.

Bagaimanapun, kerajaan sekarang menunjukkan ia lebih bersedia untuk menghantar semula  mana-mana RUU untuk dikaji semila apabila terdapat bantahan jelas terhadapnya.

RUU Mufti Wilayah Persekutuan telah ditangguhkan sejak 2024 selepas mendapat bantahan daripada istana; manakala Akta Pembaharuan Semula Bandar telah dua kali ditangguhkan untuk ditambah baik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS